Ketua pemuda sebuah parti ditahan positif syabu

Ketua pemuda sebuah parti ditahan positif syabu

Ketua pemuda peringkat bahagian, sebuah parti politik, di Hulu Selangor dilaporkan positif dadah jenis syabu dalam satu operasi polis Sabtu lalu.

Menurut laporan Sinar Harian Online, suspek berusia 30 tahun itu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Selangor kira-kira jam 2.15 petang di rumahnya di Batang Kali.

Suspek kemudian difahamkan dibawa ke Pejabat AADK Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu untuk saringan awal air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis metamfetamin (syabu).

Menurut laporan itu lagi, Pegawai AADK Hulu Selangor, Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat aduan yang diterima dan pungutan air kencing suspek dilakukan di tandas pejabat agensi tersebut.

Menurutnya, suspek di reman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu selama 14 hari bermula tarikh dia ditangkap.

Pegawai berkenaan juga dilaporkan berkata, tiada sebarang rampasan barang dan suspek tiada rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.