Malaysia Dateline

Ketua Penerangan Bersatu jadi ‘lauk kenduri’ selepas tuduh warganet tentera siber Najib

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilihat menjadi ‘lauk kenduri’ apabila terus menerima kecaman warganet ekoran tuduhannya bahawa ‘beribu cybertrooper’ Datuk Seri Najib Razak menyerangnya sebelum ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu kelmarin turut mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan secara sinis bertanyakan berapa juta dana pembiayaan yang Najib gunakan untuk pasukan tentera siber.

Ekoran itu, bekas calon kerusi Parlimen Pendang pada PRU-14 berkenaan dihujani cemuhan warganet termasuk menggunakan nama dan gambar profil sebenar yang mengaku mereka bukan tentera siber yang diupah oleh Najib.

Rata-rata daripada mereka menegaskan kritikan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini kerana kepincangan pengurusan pandemik Covid-19 yang dilaksanakan Kabinet Muhyiddin Yassin.

Kecaman warganet itu dilihat membanjiri komentar dalam hantaran Wan Saiful di akaun Facebook beliau susulan pembentangan Pelan Pemulihan Negara oleh Muhyiddin semalam.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Fasa 3 PKP hanya akan dilakukan setelah negara berjaya memenuhi beberapa pencapaian seperti ditetapkan oleh kerajaan dalam menurun serta memutuskan rantaian Covid-19,” kata Wan Saiful.

Susulan itu ada yang mencadangkan Wan Saiful meletakkan jawatan sahaja memandangkan kenyataannya yang dianggap meremehkan rakyat yang sedang tertekan dengan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berkesudahan.

“Buat mohon maaf terbuka saja. Jangan ego. Israel pun ‘koyak’ teruk dek penangan netizen Malaysia.

“Sebelum keadaan bertambah parah, baik awak minta maaf, letak jawatan. Rakyat tengah membara, awak curah minyak lagi dengan kenyataan yang kurang bijak,” kata Nazim Manap.

Bahkan, ada yang mempertikaikan kemunculan Wan Saiful dalam politik negara.

“Saya bukan cytro sesiapa, saya cuma rakyat biasa. Cuma nak tanya, jawatan kau di PTPTN itu sebab kredibiliti atau sebab lantikan politik?

“Lagipun dalam PRU 2018 yang orang cakap tsunami politik PH sekalipun, kau tak memenangi kerusi (Parlimen). Kau pun bukan runner up, kau ni sebenarnya apa?” tempelak Mohd Azim.

Tidak kurang juga yang menuntut kerajaan PN menyegerakan persidangan Parlimen bagi memastikan proses semak dan imbang berlaku dalam memastikan usaha memerangi Covid-19 benar-benar berkesan.

“Saya bukan ‘cybertrooper’, saja nak tanya, kenapa tak buka saja Parlimen tu? Pakailah SOP yang ketat, seperti yang digunapakai syarikat syarikat essential,” kata Kamal antara lebih 300 komentar yang mengkritik Wan Saiful dan kerajaan PN hanya dalam tempoh 13 jam hantaran itu dimuatnaik.