Ketua pesuruhjaya SPRM baru digesa siasat 1MDB hingga ke lubang cacing

Ketua pesuruhjaya SPRM baru digesa siasat 1MDB hingga ke lubang cacing

Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) menyarankan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baharu Datuk Dzulkifli Ahmad segera meneruskan siasatan ke atas skandal 1MDB dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Timbalan pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata ini bagi megelakkan imej SPRM terus tercalar.

Beliau turut mencabar Dzulkifli menyatakan pendirian beliau secara terbuka berkenaan skandal kewangan terburuk negara itu.

“Cabaran terbesar SPRM adalah untuk meneruskan siasatan terhadap tindakan yang telah diambil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat terhadap skandal yang berkaitan dengan 1MDB selain menyemak kembali kes-kes seperti NFC, SRC International, RM1.4 juta tajaan umrah Pemuda Umno, penyelewengan RM100 juta melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sehinggalah kepada derma RM2.6 bilion yang didakwa telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai perlantikan Dzulkifli itu, Wan Anwar berkata ia diilihat sebagai usaha perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan orang yang ‘sekepala’ dengan peguam negara di sebuah institusi penting negara.

“Kanun merasa hairan dalam kalangan ramai pegawai dalaman SPRM yang dilihat berkeupayaan meneruskan legasi perjuangan Tan Sri Abu Kassim tetapi gagal untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Ini menimbulkan syak sama ada perdana menteri benar-benar ingin memperkasakan SPRM supaya benar-benar bebas dalam usaha membanteras jenayah rasuah di Malaysia atau sebaliknya,” katanya lagi.

Kanun turut melahirkan kebimbangan terhadap perlantikan ini kerana jawatan terakhir Dzulkifli sebelum ini ialah pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara.

“Ia ditakuti boleh menimbulkan persepsi bahawa segala gerak kerja SPRM selepas ini akan dipengaruhi oleh peguam negara,” katanya.

Kanun turut mengingatkan Dzulkifli bahawa selagi kuasa pendakwaan terletak di tangan peguam negara, selagi itulah SPRM tidak akan bebas untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.

“Justeru, adalah juga menjadi cabaran yang besar kepada Dzulkifli untuk meminda peruntukan perlembagaan dan Akta Surhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berkenaan kuasa untuk mendakwa tersebut supaya perubahan kepimpinan SPRM kini tidak dilihat hanya sebagi perubahan yang bersifat kosmetik semata-mata dan kewibawaan SPRM yang terjejas selama ini dapat dipulihkan semula,” tegasnya.

Dzulkifli diumumkan sebagai pengganti Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021 oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

COMMENTS

Wordpress (0)