Ketua Polis Negara serang, fitnah peguam Americk?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Serangan peribadi Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar terhadap peguam Americk Sidhu dan anak guamnya, Charles Suresh Morais mencetuskan kebimbangan sejauhmana kes berkenaan disiasat secara telus, demikian pandangan Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk S.Ambiga.

Beliau berkata, KPN mempunyai tanggungjawab positif untuk menghormati dan melindungi martabat manusia dan undang-undang hak asasi untuk semua insan dalam melaksanakan tanggungjawab profesionalnya.

“Hakam mengecam keras keputusan Ketua Polis Negara untuk menyiasat peguam Americk Sidhu disebabkan oleh akuan berkanun yang disahkan oleh anak guamnya Charles Suresh Morais.

“Ini kerana ia satu pelanggaran prinsip asas “solicitor-client privilege”. Perkara ini diiringi dengan kenyataan yang berunsur fitnah daripada Ketua Polis Negara terhadap peguam Americk merupakan satu gangguan terhadap seorang peguam yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesionalnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut isu tersebut, beliau berkata, kerajaan harus memastikan peguam tidak digertak, diugut atau diganggu dalam melaksanakan tugas profesional mereka.

“Seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang tidak boleh melanggari prinsip asas perwakilan undang-undang yang berkesan kerana ia adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Salah satu aspek penting daripada hak ini adalah konsep komunikasi terlindung. Ini bermakna, setiap pegawai penguatkuasa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi hak yang sedia wujud ini,” jelas Ambiga lagi.

Khalid sebelum ini mendakwa Charles yang juga adik Kevin sebagai pengecut kerana melarikan diri ke luar negara pada 26 November lalu selepas membuat pelbagai dakwaan berhubung kes pembunuhan Timbalan Pendakwaraya Kevin Morais, 55.

Khalid pada 28 November lalu juga memberitahu pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Charles di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan maklumat dan Seksyen 124L kanun sama kerana dikatakan cuba melakukan sabotaj.

Charles antara lain mendakwa Kevin terlibat dalam siasatan berkaitan syarikat pelaburan negara sarat hutang, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum hilang dan ditemui mati disimen dalam sebuah tong pada di Subang Jaya, 16 September lalu.

Beliau yang menetap di Amerika Syarikat lebih 30 tahun turut mendakwa menerima satu pemacu USB (pen drive) daripada Kevin yang mengandungi maklumat penting berkaitan kes-kes dikendalikannya sebelum dibunuh.

Walau bagaimanapun, Americk memberitahu beliau tidak mengetahui tentang hal berkenaan.

TAGS