Malaysia Dateline

Ketua Sekretariat PH Perlis didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman

Syed Araniri Syed Ahmad

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Negeri Perlis, Syed Araniri Syed Ahmad telah didakwa dibawah Akta 9(5)Perhimpunan Aman di Mahkamah Majistret, Kangar pada Selasa.

Beliau telah didakwa kerana memberi notis singkat memaklumkan kepada pihak polis untuk program ceramah PH Perlis di hadapan Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia Perlis pada Mei lalu.

Dibawah akta tersebut hukuman denda maksimum sehingga RM10,000 boleh dikenakan sekiranya notis 10 hari tidak diberikan oleh pihak penganjur kepada pihak polis sebelum satu perhimpunan awam diadakan.

Semasa pertuduhan dibacakan Syed Araniri membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mahkamah telah menetapkan kes tersebut akan dibicarakan pada 24 Januari yang akan datang.

Sehubungan itu Syed Araniri telah dibenarkan diikat jamin sebanyak lima ribu ringgit dengan seorang penjamin.

Dakwaan ini juga merupakan kes yang pertama seumpamanya di negeri Perlis.

Turut hadir memberi sokongan kepada beliau ialah Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan, Pengerusi AMANAH Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim serta Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis, Feisol Abd Rahman.