Ketua Umno Bahagian Balik Pulau pula lepas semua jawatan dalam Umno, BN

Ketua Umno Bahagian Balik Pulau pula lepas semua jawatan dalam Umno, BN

Selepas Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Abdul Aziz Shaik Ahmad melepaskan kesemua jawatan yang dipegangnya dalam Umno Bahagian Permatang Pauh baru-baru ini, kini Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pula mengumumkan perletakan semua jawatan beliau dalam Umno dan juga Barisan Nasional (BN).

Hilmi yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan telah menceburi politik selama 28 tahun.

Beliau juga berkata keputusannya untuk melepaskan kesemua jawatan adalah untuk berihat daripada politik.

“Saya telah berkecimpung selama 28 tahun dalam poliitik.

“Kini ingin berihat dan melepaskan kesemua jawatan dalam Umno dan BN.

“Walau bagaimana pun akan tetap menjadi ahli Umno dan berharap Umno akan dapat bangkit semula,” ujarnya.

Dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu menyaksikan beliau tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Balik Pulau.

Hilmi berjaya memperolehi sebanyak 19007 undi, manakala lawannya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berjaya meraih sejumlah 25471 undi dengan mendapat majoriti 6464 undi.

Sementara itu calon Pas, Muhammad Imran Mohd Saad turut kalah apabila beliau hanya mampu mendapat sebanyak 5298 undi.

Dalam PRU14 yang lalu Umno dan BN Pulau Pinang hanya mampu mempertahankan kerusi Parlimen Tasek Gelugor melalui Datuk Shabudin Yahaya yang memperolehi majoriti tipis iaitu 81 undi.

Manakala kerusi Parlimen Kepala Batas pula berjaya dimenangi oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan kelebihan majoriti sebanyak 4,736 undi.

Untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pula Umno dan BN hanya mampu mempertahankan dua kerusi sahaja iaitu Dun Sungai Dua oleh Datuk Muhammad Yusoff Mohd Nor yang mendapat majoriti 1,934 undi.

Bagi kerusi Dun Permatang Berangan pula Umno dan BN berjaya memenangi kerusi tersebut melalui calonnya Norhafizah Othman yang meraih majoriti sebanyak 646 undi.

CATEGORIES