Malaysia Dateline

Ketua Umno Pasir Puteh paling jantan, letak jawatan GLC

Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman, menjadi pemimpin Umno pertama yang meletakkan jawatan dari syarikat milik kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas partinya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Beliau mengumumkan meletak jawatan serta-merta sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dalam satu majlis malam tadi di Pasir Puteh (Gambar atas – Astro Awani).

Zawawi yang juga Adun Semerak, membuat pengumuman itu dalam Majlis Penerangan Isu Semasa di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh malam tadi, lapor Astro Awani.

Bagaimanapun, beliau belum menghantar surat peletakan jawatan dan akan melakukannya dalam masa terdekat.

“Surat rasmi peletakan jawatan akan diuruskan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, peletakan jawatannya itu sebagai menyahut seruan dan amanat pemimpin Umno yang membuat keputusan untuk tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, beliau menyeru pemimpin Umno yang lain supaya melepaskan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kepentingan lain selaras dengan usul yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020).

Zawawi dilantik sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, pada 26 Oktober tahun lepas.