Malaysia Dateline

Ketua Wanita PH dilarang masuk Sarawak

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin dilapor tidak dibenarkan memasuki Sarawak, sehari sebelum kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad ke bumi kenyalang itu esok.

Menurut Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling, anggota parlimen Ampang itu dilarang memasuki Sarawak ketika tiba di Lapangan Terbang Miri kira-kira jam 2 petang tadi.

Menurut beliau, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR sepatutnya menghadiri majlis makan malam anjuran PKR dan Purple Women’s Walk yang dijadualkan pagi esok.

“Akan tetapi beliau telah ditolak masuk oleh Imigresen Sarawak,” katanya menerusi catatan Facebook.

Berdasarkan surat yang dipaparkan, notis larangan itu dikeluarkan sejajar dengan seksyen 65(1) (a) Akta Imigresen 1959/63.

“Pihak berkuasa negeri telah mengarahkan supaya tiada pas dikeluarkan kepada tuan untuk memasuki negeri Sarawak dan pas tersebut adalah diperlukan untuk tuan memasuki negeri ini selaras dengan kehendak Seksyen 66 akta yang sama,” jelas surat berkenaan.

Tindakan ini dilihat bertentangan dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Abang Openg hari ini bahawa Sarawak tidak akan menghalang Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan pemimpin PH yang lain daripada memasuki negeri itu untuk ceramah pertama mereka di Kuching yang dijadualkan berlangsung esok.

Bagaimanapun, beliau menegaskan yang akan terus menggunakan hak imigresen negeri itu untuk menghalang mereka yang dianggap tidak diingini, walau apa juga pandangan pengkritik.

“Tiada masalah. Mereka bukan pelampau, lagipun mereka tak penting,” kata Abang Johari merujuk kepada beberapa pemimpin PH yang dijangka mengunjungi negeri itu esok untuk ceramah di kawasan kediaman BDC di Kuching esok malam.

“Saya akan halang mana-mana ahli politik yang mengancam perpaduan Sarawak.

“Kebebasan bersuara tak bermakna ia menggadaikan (hak) rakyat,”

Katanya, alasan itulah yang digunakan negeri untuk menghalang kemasukan beberapa pelampau seperti Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos dan Ibrahim Ali dari Perkasa.