Ketua Wanita tidak tahu sidang media untuk umum hilang keyakinan kepada MB Kedah

Ketua Wanita tidak tahu sidang media untuk umum hilang keyakinan kepada MB Kedah

Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Seri Maznah Hamid mendedahkan beliau tidak tahu menahu tujuan sidang media Umno Kedah semalam untuk mengumumkan hilang keyakinan mereka kepada menteri besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, lapor Sinar Harian.

 

Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Seri Maznah Hamid mendedahkan beliau tidak tahu menahu tujuan sidang media Umno Kedah semalam untuk mengumumkan hilang keyakinan mereka kepada menteri besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, lapor Sinar Harian.

Mendedahkan perkara itu, katanya, sebelum sidang media itu, para pemimpin Umno negeri dan bahagian telah dipanggil untuk menghadiri satu taklimat tertutup.

“Selaku ketua sayap negeri dan bahagian, saya hadir untuk mengetahui perkembangan parti terutamanya di Kedah.

“Sebaik sampai langsung tiada mesyuarat atau taklimat, sebaliknya saya dan beberapa pemimpin lain diminta ke barisan depan untuk menyertai sidang media, sedangkan kami tak tahu apa sebenarnya dan tujuan sidang media diadakan,” katanya.

Menurut Maznah, tidak semestinya kehadiran beliau di situ menyokong tindakan itu, sebaliknya hanya ingin mengetahui perkara sebenar.

“Saya amat berharap kepada kepimpinan Umno agar semua kembali rasional dalam membuat keputusan.

“Janganlah kita membuat sesuatu yang menyusahkan rakyat dan merugikan bangsa kita sendiri. Semoga Kedah kembali aman sejahtera,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian mengulas sidang media yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah bersama hampir keseluruhan kepimpinan Umno Kedah semalam.

Dalam sidang media itu, Bashah mengumumkan kepimpinan Umno negeri Kedah sudah hilang keyakinan kepada Mukhriz selaku menteri besar dan pengerusi perhubungan Umno negeri.

Mereka meminta presiden Umno Datuk Seri Najib Razak agar mengambil tindakan sewajarnya.

Ulang kemelut Terengganu

Kemelut Umno di Terengganu

Krisis jawatan Menteri Besar Kedah itu dilihat seperti mengulangi kemelut kepimpinan kerajaan negeri Umno-BN di Terengganu pada 12 Mei 2014 apabila Datuk Seri Ahmad Said didesak berundur.

Bagaimanapun, ekoran pertemuan kepimpinan Umno negeri itu dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Najib Razak, pertikaian tersebut kemudiannya selesai dalam tempoh kurang 48 jam.

Hal ini kerana, semua Adun BN Terengganu bersatu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman selaku Menteri Besar yang baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, desakan diketuai Ahmad Bashah supaya Presiden Umno turut campur tangan dilihat ada kaitan dengan pendirian Mukhriz sebelum ini yang mengkritik kepimpinan Najib.

Ini dapat dilihat pada reaksi Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

“Kalau seseorang tidak lagi mampu nak bawa kapal serta tidak serasi dengan kapten, orang itu kena berhenti, kena lantik orang lain kemudi kapal,” ujarnya.

Beliau berkata, antara sebab utama yang membuatkan kesemua pemimpin Umno Kedah hilang kepercayaan kepada Mukhriz ialah kegagalan anak Mahathir itu membentuk hubungan baik dengan kerajaan pusat.

Ahmad juga memberitahu sekurang-kurangnya terdapat dua nama bagi menduduki jawatan Menteri Besar negeri itu.

TAGS