Siapa sangka, penularan drama bersiri sensasi iaitu Bidaah di Indonesia boleh membawa kepada pembongkaran kes jenayah seksual melibatkan pelaku bergelar Ketua Yayasan dan Pemimpin Pondok Pesantren di negara itu.
Kejadian mengerikan itu dilaporkan berlaku di Gunung Sari, Lombok Barat, Nusa Tenggara Barat, Indonesia yang mana pelaku dikenali sebagai AF didakwa telah menodai puluhan pelajar perempuan di pondok kelolaannya.
Perbuatan kejam pelaku itu akhirnya terbongkar apabila pelajar berkenaan menonton drama Bidaah dan merasa melalui pengalaman sama seperti mangsa kepada watak Walid yang dilakonkan oleh Faizal Hussein.
Ketua Lembaga Perlindungan Anak (LPA) Mataram, Joko Jumadi menjelaskan bahawa pelaku akan memperdaya mangsa dengan menjanjikan keberkatan kepada rahim mereka sebelum melakukan jenayah seksual.
Beberapa pelajar yang menonton drama Bidaah akhirnya menyedari bahawa mereka sebenarnya diperdaya oleh pelaku sebelum tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa, lapor Detik.com.
“Mangsa-mangsa ini adalah pelajar perempuan di pondok tersebut yang terinspirasi daripada drama Bidaah terbitan Malaysia. Hal ini kerana mereka merasa babak di dalam drama itu serupa dengan pengalaman di pondok itu.
“Perbuatan dilakukan oleh pelaku yang mana pemimpin Pondok Pesantren ini berjanji akan memberi keberkatan di rahim mangsa agar dapat melahirkan anak-anak yang akan menjadi seorang wali,” kata Joko memetik laporan Detik.com.
Difahamkan, pelaku telah ditahan oleh pihak polis namun belum ditetapkan sebagai suspek berikutan kes itu masih berada di tahap siasatan bagaimanapun mangsa yang tampil membuat laporan pula bertambah saban hari.
Para pelajar perempuan yang menjadi mangsa dikatakan dinodai di beberapa lokasi berbeza termasuk di bilik atau mana-mana ruangan tertentu di pondok pesantren itu di mana pihak polis masih menjalankan siasatan.
Sementara itu, pihak pengurusan pondok pesantren dikhabarkan telah mengambil tindakan tegas dengan memecat pelaku daripada jawatannya selaku ketua yayasan dan tenaga pengajar.
Sekadar info, perbuatan sumbang itu didakwa dilakukan oleh AF dari tahun 2016 sehingga 2023 di mana beberapa pelajar mengakui diperkosa manakala selebihnya mengalami penderaan seksual seperti dicabul dan sebagainya.
Baca juga: Empat kereta ini paling ramai anak muda beli tapi paling banyak dibiarkan tersadai