Ketuanan Melayu: Provokasi Bersatu tidak bantu Melayu, Pribumi

Ketuanan Melayu: Provokasi Bersatu tidak bantu Melayu, Pribumi

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan membidas tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa, suka melakukan provokasi berhubung perkara asas membabitkan ketuanan Melayu.

Beliau dalam tulisan di facebook  berkata, isu ketuanan Melayu bukan isu baharu tetapi ia bukan perkara kecil dan remeh.

“Ini (ketuanan Melayu) asas negara ini, tunjang Perlembagaan dan rujukan dalam membentuk kontrak sosial.

“Bersatu lantang menyatakan Umno gagal menjaga orang Melayu. Jadi sepatutnya Bersatu tampillah menjadi pembela orang Melayu dan Pribumi, selari dengan nama dan slogan  perjuangan mereka sendiri (parti),” ujarnya dalam kenyataan itu.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyatan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan ketuanan Melayu sudah hilang di negara ini. Kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu bertentangan dengan kenyataan dibuat Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik berkata pandangan Syed Saddiq disalahtasir sebaliknay  parti itu sentiasa membantu orang Melayu dan Pribumi di negara ini, sejurus timbul pertikaian banyak pihak dengan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Muar termuda dari Bersatu itu.

Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi, jika Melayu dan Pribumi dianggap lemah oleh pemimpin Bersatu, parti yang baharu dua tahun tertubuh itu,  tidak ubah hanya sebuah nama tanpa erti apa-apa kepada orang Melayu dan Pribumi.

“Melainkan istilah peribumi dalam PPBM itu tidak lebih sekadar sogokan dan nama yang tidak ada apa-apa erti.

“Kalau Melayu dan Pribumi lemah bantu. Kalau ekonomi serta pendidikan Melayu dan Bumiputera lemah, bantu.

“Bukan menyerang dan membuang konsep ketuanan Melayu yang selama ini tidak ada masalah.

“Melainkan Bersatu sendiri sebenarnya tidak aham apa itu Ketuanan Melayu dan perjuangan membela Pribumi yang menjadi struktur asas perlembagaan persekutuan.

“Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan marahkan pemimpin Melayu, ketuanan bangsanya yang dicabar,” tegasnya.