Ketuanan Melayu hanya laungan politik, tiada dalam Perlembagaan, kata bekas menteri
Ketuanan Melayu hanya laungan politik sahaja, kata bekas penasihat budaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim.

Ketuanan Melayu hanya laungan politik, tiada dalam Perlembagaan, kata bekas menteri

Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rais Yatim berkata, ‘Ketuanan Melayu’ hanya dalam laungan politik sahaja dan tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ketuanan Melayu tidak ada dalam Perlembagaan kecuali hak Raja di sisi undang-undang.

“Hak-hak kesitimewaan Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan hak-hak sah komuniti lain di bawah Perkara 153.

“Perkara 8 pula memberi layanan kesaksamaan perundangan kepada semua warga,” kata Rais, bekas Menteri Penerangan dan Penasihat Budaya Kerajaan Malaysia itu.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memberikan pendapat yang sama.

Menurut Khalid, Perlembagaan Persekutuan jelas memberikan keistimewaan kepada orang Melayu tetapi bukan bermakna ia mengiktiraf ketuanan Melayu.

Bagi Pengarah Komunikasi AMANAH itu, istilah ketuanan Melayu hanya datang kemudian iaitu selepas pilihan raya umum ke 12 apabila orang bukan Melayu tidak lagi menyokong Umno.

Lagipun, kata beliau, istilah ketuanan Melayu ini sesuatu yang jelek (hodoh), “Kerana jika Melayu ini tuan, apa makna bangsa lain, hamba kan.”

Menurut Khalid, semua pihak perlu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf keistimewaan orang-orang Melayu termasuk kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan lain-lain lagi.