‘Ketuanan Melayu’ terhapus Malaysia ‘porak-peranda’

Islam sejak kemunculannya telah berjaya menyatukan kabilah-kabilah, kaum dan bangsa sehingga muncul sebagai sebuah kuasa politik yang amat besar pengaruhnya dalam peradaban manusia. Banyak pihak mengakui bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya, dan kerana itulah empayar Islam mampu bertahan sehingga berjaya dilumpuhkan oleh kuasa yang baru muncul lebih 14 abad lamanya.

Justeru kalau kita lihat hari ini realiti parti-parti Melayu- Islam yang ada saperti Pas, Umno,Amanah, Bersatu, dan Keadilan kenapa mereka masih tidak boleh bersatu atas nama Islam yang suci murni ini. Jika parti- parti politik yang sama-sama berlandaskan perjuangan Melayu dan Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digemblengkan sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya amat menakjubkan. Jika mereka ingin Ketuanan Melayu kekal dipesada bumi Malaysia ini nak tak nak mereka wajib bersatu atas nama Melayu-Islam.

Hari ini kuasa umat Islam menjadi semakin lemah walaupun dari aspek kuantiti penganutnya menduduki tangga terbesar. Jumlah penganut Islam yang semakin bertambah menjadikannya bukan sahaja dijadikan sasaran propaganda malah turut dijadikan serangan dalam bentuk kekerasan dan sekatan.

Situasi ini sebenarnya masih belum menyedarkan sepenuhnya umat Islam di Malaysia, dan kerana itulah demi politik mereka sanggup mendustai matlamat utama memperkuatkan benteng umat Islam. Jika sesama Islam saling menunjukkan persengketaan yang tidak dapat disatukan kembali, tentunya bukan Islam akan memandang “hanya manis dibibir, tetapi tidak pada tindakan”, maka amat mudah dipersenda-sendakan. Kalau sesama Islam tidak boleh berada dalam mood dan jalur kuasa yang kuat,
maka bukan Islam bukan sahaja memandang rendah kepada kita.

Kejayaan membina negara bangsa yang berdaulat, yang mempunyai kestabilan ekonomi dan politik memerlukan pengorbanan dan kesungguhan, menterjemahkan hasrat rakyat menjadi hasrat negara, adalah satu petunjuk bahawa penglibatan rakyat yang aktif dan berkesan.

Tanpa kerjasama setiap rakyat, suatu kerangka yang baik akan bertukar menemui kegagalan. Apa yang dapat kita pelajari bahawa menguruskan sesebuah negara bukanlah satu perkara yang mudah, tidak sekadar boleh berjanji kepada rakyat. Rakyat akan menghukum pemimpin yang hanya tahu berjanji, kerana rakyat memerlukan suasana kehidupan yang lebih baik dan nasib mereka akan berubah.

Ada setengah pemimpin politik merasakan bahawa ideologi yang mereka bawa itu lebih baik dengan kepentingan politik mereka, didesak agar sejarah nasionalisme negara ditulis semula agar haluan politik kiri yang tidak bersendikan “ketuanan Melayu" diterima sebagai dominasi nilai baharu yang bersendikan prinsip kebebasan dan meritokrasi.

Hasrat mereka adalah jelas kerana dengan menghapuskan “ketuanan Melayu", negara ini akan memperlihatkan prinsip pemerintahan yang lebih adil dan saksama. Bagi mereka, oleh kerana pertubuhan politik masih berasaskan perkauman, ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang lebih baik dan berkesan.

Pemimpin politik yang berjuang untuk menghapuskan “ketuanan Melayu" itu sebenarnya merupakan kelompok yang menikmati kedudukan lebih baik daripada perjuangan pemimpin Melayu sebelumnya, meletakkan dasar dan kepentingan membangunkan ekonomi Melayu.

Ramai yang percaya ideologi politik yang sedang dikembangkan sekarang tidak mampu meraih sokongan sebahagian besar masyarakat, ia dikhuatiri dipengaruhi oleh beberapa pertubuhan asing yang mahu menjadikan Malaysia porak-peranda. Mereka mahukan Malaysia sebagai negara yang mudah dikuasainya kerana mempunyai sumber bahan mentah yang banyak, kesuburan tanah dan flora dan fauna yang boleh menjana sumber ekonomi yang besar.

Usaha yang dilakukan ialah menyalurkan bantuan kepada pertubuhan politik tertentu , menggalakkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mengadakan aktiviti pemesongan persepsi, dan yang paling mereka mahukan ialah melunturkan semangat patriotisme.

Bagi melunturkan semangat patriotisme ialah dengan memperkuatkan tindakan menolak “ketuanan Melayu" dalam kalangan generasi muda dengan alasan, ia bersifat perkauman, diskriminasi dan zalim kepada kaum-kaum lain. Sebenarnya, “ketuanan Melayu" telah memberikan banyak faedah dan kesejahteraan kepada bukan Melayu, kerana orang Melayu tidak pernah mempersoalkan penguasaan ekonomi bukan Melayu.

Kerajaan yang berteraskan politik Melayu, tidak pernah merampas peluang ekonomi dari penguasaan bukan Melayu. Dengan desakan dan perulangan itulah mereka sedang membina kepercayaan baharu, cuba menukar nilai-nilai buruk kepada positif, termasuk tidak menghormati lambang negara, pemimpin yang pernah berjasa dan ikatan nilai kemesraan antara kaum, dan dengan alasan perlu menulis semula sejarah, mereka sebenarnya sedang bergerak dalam “komuniti imaginasi", sebuah komuniti yang hilang akar
budaya dan jati diri.

Maka dengan bersatunya sesama Islam, maka dilemma dengan bukan Islam akan dapat dihindari.Apabila kedudukan kita semakin kuat, maka kita akan dihormati. Kekuatan Islam memberikan jaminan bahawa bukan Islam boleh hidup selesa, tetapi, dalam keadaan orang Islam lemah, orang Islam dihina dan dibelenggu dengan pelbagai sekatan. Kita mungkin dapat memahami bagaimana tersiksa penduduk Palestin, bukan sahaja tidak mempunyai kebebasan memilih cara hidup sendiri, malah pergerakan mereka terus menerus diawasi, malah cuba dihapuskan secara perlahan-lahan.

Dasar umat Islam adalah jelas, jalan menyelamatkan mereka yang sedang bersengketa masih boleh diselesaikan, sebagaimana  Allah SWT mengingatkan kita:  “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). Surah Al-Qasas: 56

Sekiranya umat Islam mempunyai cita-cita yang sebenar hendak mengembangkan agama Islam di Negara ini,hendaklah ditumpukan kepada persaudaraan Islam ini. Janganlah berharap bahawa Islam satu hari nanti akan dapat mencapai maksudnya dalam tanah air kita ini jika kita gagal untuk menyatukan parti-parti Melayu Islam terbesar ini Melayu-Islam perlu kembali bersatu bagi menghadapi cabaran yang menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya. Melayu dan Islam adalah dua ‘ramuan sakti’ yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang
kuat” kerana “bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu-Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil.

Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah. Kita juga perlu ingat, Allah SWT pernah memberikan amaran bahawa dalam keadaan umat Islam asyik bersengketa, mereka yang lebih kecil bilangannya akan dilihat semakin kuat dan berkuasa.

Kita sudah mempunyai petanda tersebut, walaupun ada setengah daripada kita ia bukanlah sebuah signal yang jelas. Tatkala kita mendapat signal dengan jelas, sebenarnya ketika itu kita sudahpun terlewat. Untuk tujuan ini juga sewajarnya kita hayati beberapa hadis peninggalan Baginda kepada umatnya.Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:”Orang-orang mukmin itu dalam sayang menyanyangi,kasih mengasihi,santun menyantuni tidak ubah saperti satu anggota dari tubuh yang apabila menderita satu
anggota dari tubuh itu akan menderita pula seluruh tubuh itu dengan tidak dapat tidur dan demam”

Hadis yang lain pula bermaksud:”Orang mukmin itu mencintai saudaranya sebagai mana ia cinta kepada diri sendiri”(Riwayat bukhari dan Muslim.)Kerana hubungan persaudaraan inilah ia perlu diberi pertolongan segera atau menghulurkan bantuan yang di perlukan,sebabnya kesempurnaan persaudaraan itu hanya boleh menjelma secara baik dan harmonis apabila masing-masing berjalan
seiring untuk menuju satu maksud dan tujuan.

*Pengarah Media Dan Komunikasi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia(OMIW)