Keuntungan Affin dalam suku ketiga melonjak kepada RM144.57 juta

Keuntungan Affin dalam suku ketiga melonjak kepada RM144.57 juta

Affin Bank Bhd melaporkan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM144.57 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2018 berbanding hanya RM39.90 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2017.

Pendapatan menokok kepada RM496.24 juta berbanding RM327.95 juta sebelumnya.

Prestasi kumpulan yang bertambah baik ini telah didorong oleh peningkatan dalam pendapatan komisen dan yuran bersih, pendapatan perbankan Islam, keuntungan bersih di atas instrumen kewangan dan lain-lain pendapatan operasi, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd Jamil dalam satu kenyataan berasingan, berkata bank itu berpuas hati dengan keputusan kewangan bagi suku berkenaan.

“Kami menghasilkan pendapatan yang kukuh dengan keputusan operasi yang baik, di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang mencabar.

“Bank mencapai kemajuan dengan perlaksanaan strategi di beberapa kawasan sepanjang suku dan memberi tumpuan bagi menjadikannya sebagai sebuah bank pelbagai yang berprestasi tinggi,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Affin Bank akan terus memanfaatkan kekuatan kumpulan untuk terus mengembangkan perniagaan dan memperbaiki kedudukan pasaran dengan menumpukan kepada peluang-peluang dalam sektor perbankan korporat, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana walaupun berdepan dengan cabaran.

— BERNAMA