Malaysia Dateline

Keuntungan bersih 2018 Mah Sing susut 33.25 peratus kepada RM271.58 juta

Keuntungan bersih pemaju hartanah Mah Sing Group Bhd susut 33.25 peratus kepada RM271.58 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2018, berbanding  RM361.89 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil turun kepada RM2.19 bilion daripada RM2.91 bilion sebelumnya.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih jatuh kepada RM65.38 juta berbanding RM88.77 juta sebelumnya manakala hasil turun kepada RM514.64 juta berbanding RM760.84 juta dalam suku yang sama pada 2017.

Bagaimanapun, Mah Sing berkata ia menjangkakan peningkatan pertumbuhan memandangkan lembaran imbangan yang kukuh sebanyak RM1.22 bilion tunai dan baki bank bagi tahun berakhir  31 Dis, 2018.

“Mah Sing berada di kedudukan tunai bersih bagi suku keempat berturut-turut setakat 31 Dis, 2018. Dengan pengurusan kewangan yang berdisiplin dan lembaran imbangan yang kukuh, kami berkedudukan baik untuk mendapatkan lebih banyak tanah dan meneroka peluang usaha sama dengan tumpuan kepada projek perumahan mampu milik dalam Greater KL,” kata Pengasas dan Pengarah Urusannya Tan Sri Leong Hoy Kum dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan mengenai keputusan kewangan 2018, Mah Sing berkata bagi pembangunan hartanah, hasil dianggarkan RM1.8 bilion manakala keuntungan operasi kira-kira RM327.7 juta disumbang terutamanya daripada jualan baharu yang tinggi daripada projek baharu seperti M Vertica di Cheras, M Centura di Sentul dan M Aruna di Rawang.

“Sumbangan kepada hasil daripada projek-projek ini dijangka lebih ketara selepas melepasi peringkat awal pembinaan,” kata syarikat itu.

Pada 2019, pelancaran terus menumpukan kepada rumah mampu milik dengan lokasi strategik, kata syarikat itu.

Kumpulan itu mencadangkan dividen final 4.5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang.

Mah Sing berkata ia membayar kadar dividen yang konsisten sekurang-kurangnya 40 peratus daripada keuntungan bersih  sepanjang 13 tahun lalu, mendukung komitmen untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham di samping mengekalkan pendekatan berdisiplinnya kepada pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

— BERNAMA