Keuntungan bersih 2018 Petronas Gas meningkat kepada RM1.81 bilion

Keuntungan bersih 2018 Petronas Gas meningkat kepada RM1.81 bilion

Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2018, meningkat kepada RM1.81 bilion daripada RM1.79 bilion pada tahun sebelumnya.

Hasil melonjak 12.30 peratus kepada RM5.49 bilion, yang tertinggi dalam sejarah syarikat itu daripada RM4.89 bilion pada tahun kewangan 2017.

“Hasil tinggi itu disumbang oleh kejayaan operasi tahun penuh terminal pengegasan gas asli cecair (LNG) syarikat di Pengerang, Johor. Ini disokong seterusnya oleh hasil tinggi daripada segmen utiliti,” kata syarikat tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Petronas Gas berkata peningkatan keuntungan itu disokong oleh hasil tinggi yang dicapai tetapi diimbangi oleh kerugian dalam Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) susulan penyahiktirafan aset cukai tertunda (DTA) dan kos kewangan tinggi.

“Penyahiktirafan DTA berjumlah RM124.3 juta (menjadi 60 peratus saham syarikat) berkaitan dengan manfaat cukai tertentu yang kini memiliki had penggunaan tujuh tahun di bawah Akta Kewangan 2018 baharu,” kata syarikat itu.

Petronas Gas berkata kos kewangan tinggi itu adalah disebabkan oleh pengiktirafan perbelanjaan faedah yang dipermodalkan susulan selesai pembinaan terminal pengegasan LNG di terminal di Pengerang.

Mengenai prospek masa depan, syarikat itu berkata kelulusan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi tarif pengangkutan gas dan perkhidmatan pengegasan bagi 2019 dijangka membawa kesan kepada segmen pengangkutan dan perniagaan pengegasannya tahun ini.

“Bagaimanapun, kedua-dua segmen itu dijangka terus memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat.

“Kami juga menjangka segmen pemprosesan gas menyediakan pendapatan yang bertambah baik sejajar dengan caj ganjaran tetap di bawah terma kedua perjanjian pemprosesan gas 20 tahun yang berkuat kuasa dari  2019 sehingga 2023,” kata syarikat itu.- BERNAMA