Keuntungan bersih AEON Credit meningkat kepada RM354.62 juta

Keuntungan bersih AEON Credit meningkat kepada RM354.62 juta

Keuntungan bersih AEON Credit Service (M) Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir pada 28 Feb, 2019, meningkat kepada RM354.62 juta daripada RM300.06 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Hasil meningkat kepada RM1.37 bilion daripada RM1.24 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat yang berakhir 28 Feb, 2019, keuntungan bersih AEON Credit meningkat 6.4 peratus kepada RM87.6 juta daripada RM82.3 juta, manakala hasil naik 16.3 peratus kepada RM359.5 juta daripada RM309.2 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan hasil bagi suku keempat itu disumbang terutamanya daripada peningkatan belum terima pembiayaan bagi perniagaan pembiayaan motosikal, pembiayaan auto dan pembiayaan peribadi,” kata syarikat itu.

Pengarah Urusannya Kenji Fujita berkata syarikat itu dijangka mengekalkan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan yang berakhir 29, Feb, 2020, berdasarkan kepada pelaksanaan berjadual pelan perniagaannya dan memanfaatkan kekuatan jenama AEON.

“Tahun ini, kami akan terus memberi keutamaan untuk mendigitalkan lagi operasi kami dan penyelesaian inovatif sebagai strategi utama untuk meningkatkan prestasi. Selain itu, perkhidmatan e-dompet yang baru dilancarkan yang memudahkan lagi pembayaran merupakan antara inisiatif yang kami perkenalkan untuk memastikan capaian kami kepada pelanggan dikekalkan.

“Inisiatif ini akan memastikan syarikat dapat mengembangkan jumlah pelanggan, dan pada masa yang sama, kekal kompetitif dalam berdepan dengan perubahan trend pengguna dan runcit,” katanya.– BERNAMA