Keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi FY2018 meningkat kepada RM224 juta

Keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi FY2018 meningkat kepada RM224 juta

Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 meningkat kepada RM224.04 juta daripada RM223.04 juta yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil bagaimanapun menyusut kepada RM550 juta daripada RM556.83 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Tajuddin Atan berkata keuntungan yang meningkat itu disumbangkan oleh hasil operasi yang lebih tinggi sebanyak RM523.3 juta, peningkatan 0.2 peratus daripada tahun kewangan sebelum ini  dan penyusutan 3.6 peratus tahun ke tahun bagi perbelanjaan operasi berikutan kos kakitangan dan operasi yang rendah.

Beliau berkata nisbah kos kepada pendapatan meningkat satu mata peratusan kepada 44 peratus, manakala pulangan ekuiti kekal stabil pada 26 peratus.

“Bagi mewujudkan persekitaran yang memudahkan, sepanjang tahun kami terus melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan kecairan dan kerancakan pasaran,” katanya.

Beliau berkata ini termasuk pelancaran Jualan Singkat Harian (IDSS) kepada semua pelabur, meliberalisasikan peraturan margin pembiayaan dan pengecualian yuran bagi dagangan dan penjelasan untuk tempoh enam bulan kepada pelabur individu baharu sehingga 18 Sept, 2018.

Beliau berkata Bursa Malaysia juga akan terus menambah baik kerangka dan struktur pasaran, memperkenalkan pengelasan sektor baharu dan indeks sektorial pada tahun itu untuk terus menyelaraskan bursa berkenaan dengan piawaian yang diiktiraf antarabangsa.

“Kami mengambil langkah lebih baik untuk menambah baik kecairan pasaran, meningkatkan ekosistem dan mendapat lebih ramai pelabur,” katanya.

Menurut Tajuddin, pelancaran Kontrak Hadapan Indeks Mini FTSE Bursa Malaysia Mid 70 (FM70) menyediakan peluang kepada kumpulan pelabur runcit yang lebih ramai untuk menyertai perdagangan derivatif.

“Kami akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan penyertaan runcit  dalam kempen pelaburan runcit kami,  ‘Invest Bursa Invest in You’, yang dilancarkan September tahun lepas,” katanya.

Bagi tempoh yang  dikaji itu, beliau berkata perolehan perdagangan pasaran sekuriti meningkat 2.4 peratus kepada RM265.8 juta daripada RM259.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 2017, terutama disebabkan purata nilai dagangan harian yang lebih tinggi bagi pasaran sekuriti dalam dagangan pasaran sebanyak 3.4 peratus kepada RM2.4 bilion daripada RM2.3 bilion bagi tahun kewangan terdahulu.

Beliau berkata perolehan bukan dagangan mencatatkan pengurangan margin 0.1 peratus kepada RM165.9 juta berbanding RM166.1 juta pada tahun sebelumnya berikutan penyenaraian lebih rendah dan perolehan perkhidmatan pengeluar yang berkurang 2.7 peratus tahun ke tahun.

“Ini sebahagiannya diimbangi perolehan data pasaran yang lebih tinggi, naik 4.9 peratus kepada RM36.2 juta daripada RM34.5 juta bagi tahun kewangan 2017,” katanya.

Bagi pasaran derivatif, Tajuddin berkata kontrak harian purata yang diniagakan tahun lepas merosot 2.1 peratus kepada 56,488 kontrak daripada 57,677 kontrak tahun sebelumnya, menyebabkan perolehan dagangan yang lebih rendah sebanyak RM76.7 juta daripada RM80.6 juta.

Beliau berkata 13. 7 juta kontrak diniagakan pada tahun kewangan 2018 berbanding 14 juta kontrak bagi tahun kewangan 2017.

“Kontrak hadapan minyak  sawit mentah (FCPO) yang didagangkan bagi tahun kewangan 2018 menyusut 12.1 peratus kepada 10.5 juta kontrak dengan peniaga atau pemilik komoditi tidak menyertai FCPO kerana harga yang lemah dan kurang stabil.

Bagaimanapun kontrak hadapan KLCI FTSE Bursa Malaysia menunjukkan peningkatan kontrak yang diniagakan sebanyak 22.8 peratus kepada 2.5 juta kontrak daripada dua juta kontrak pada tahun sebelumnya.

Bagi Pasaran Modal Islam, Tajuddin berkata perolehan bagi Bursa Suq Al-Sila’ dalam tahun kewangan 2018 turun 5.6 peratus kepada RM14.9 juta daripada RM15.8 juta untuk tahun kewangan berikutnya, disebabkan terutama oleh peningkatan dagangan di bawah skim harga berdasarkan jumlah yang menyebabkan fi lebih rendah.

Beliau berkata nilai dagangan harian purata  pasaran mengalami pertumbuhan 24.4 peratus kepada RM24.3 bilion daripada RM19.6 bilion bagi tahun sebelumnya berikutan perdagangan yang meningkat daripada peserta tempatan dan asing.

Tajuddin berkata inisiatif strategi yang dilaksanakan sepanjang tahun ini meletakkan asas yang kukuh untuk meletakkan Bursa Malaysia pada kedudukan lebih baik untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan pada masa hadapan dan memastikan perniagaan yang lebih relevan dan mampan untuk membina nilai jangka masa panjang.

Beliau berkata bursa juga akan terus melabur untuk pembangunan masyarakat dan membina sistem berdaya tahan yang penting ke arah menyokong agenda pertumbuhan pasaran modal.

— BERNAMA