Keuntungan bersih KLCCP susut kepada RM724.9 juta

Keuntungan bersih KLCCP susut kepada RM724.9 juta

KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM724.91 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018 daripada RM877.90 juta yang direkodkan dalam tahun sebelum ini.

KLCCP dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata hasil naik kepada RM1.41 bilion daripada RM1.37 bilion.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2018, keuntungan bersih menurun kepada RM183.67 juta berbanding RM345.52 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun kewangan 2017, manakala pendapatan meningkat kepada RM366.35 juta daripada RM352.07 juta.

KLCCP berkata prestasi pada suku keempat disumbangkan terutamanya oleh segmen peruncitan yang menyaksikan hasil dan keuntungan sebelum cukai menokok, masing-masing sebanyak 6.1 peratus dan 7.7 peratus.

Melangkah ke hadapan, Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur dijangka berhadapan dengan persaingan yang semakin bertambah.

“Segmen peruncitan akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukannya, memberi pengalaman baharu kepada pelanggan dan menyepadukan Suria KLCC sebagai sebuah pusat membeli-belah gaya hidup.

“Segmen pejabat pula, akan terus menjadi teras yang memberikan kestabilan kepada kumpulan,” kata KLCCP.

— BERNAMA