Malaysia Dateline

Keuntungan bersih Petronas Chemicals naik kepada RM1.3 bilion

Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2018, melonjak kepada RM1.3 bilion daripada RM913.0 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama pada tahun lepas.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu hasil meningkat sebanyak RM817 juta atau 20 peratus kepada RM4.8 bilion daripada RM4.0 bilion sebelum ini, dipacu oleh harga produk yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih rendah dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar US.

Kumpulan itu ketika bercakap mengenai prospek, berkata operasi syarikat dijangka akan dipengaruhi oleh keadaan ekonomi global, pergerakan kadar pertukaran asing, kadar penggunaan fasiliti pengeluaran dan kenaikan harga produk petrokimia yang mempunyai hubungan dengan harga minyak mentah, khususnya bagi segmen olefin dan derivatif.

“Penggunaan fasiliti-fasiliti pengeluaran kami amat bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan loji serta ketersediaan bahan mentah dan bekalan utiliti yang mencukup.

“Kumpulan akan meneruskan program kecemerlangan operasi dan pengurusan hubungan dengan pembekal untuk mengekalkan tahap penggunaan loji di atas tanda aras industri,” katanya.

— BERNAMA