Keuntungan bersih Westports susut kepada RM533.47 juta

Keuntungan bersih Westports susut kepada RM533.47 juta

Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 susut kepada RM533.47 juta berbanding RM651.51 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata perolehannya turut berkurangan kepada RM1.61 bilion daripada RM2.09 bilion sebelumnya.

Bagi tahun kewangan di bawah kajian, Westports telah mengendalikan sejumlah 9.5 juta truput kontena TEU iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki yang merupakan pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus berbanding 2017.

“Jumlah dagangan meningkat sebanyak 18 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menunjukkan aktiviti ekonomi domestik yang menggalakkan manakala jumlah penghantaran turut menokok kepada 6.2 juta TEU,” katanya.

Bagi tempoh suku keempat berakhir pada 31 Dis, 2018, keuntungan bersih Westports berkurangan kepada RM145.54 juta berbanding RM210.98 juta manakala perolehannya susut kepada RM418.02 juta daripada RM573.96 juta yang dicatat sebelum ini.

Pengarah Urusan Kumpulan itu,  Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata bagi tahun ini, Westports menyasarkan untuk mencapai prestasi jumlah truput kontena lebih tinggi dengan momentum pertumbuhan organik yang lebih meningkat pada paras asas volum tahun lepas.

“Kami juga sedang meneliti cadangan perluasan terminal kontena. Ini sejajar pendirian Westports untuk memperkukuh syarikat serta peranan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama dagangan serta sebagai salah satu hab penghantaran yang penting di rantau Asia Tenggara,” katanya.

— BERNAMA