Malaysia Dateline

Keutamaan PM10 ialah kerajaan kuat dan stabil

Perdana Menteri ke-10 (PM10) , Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberi ruang dan peluang terlebih dahulu untuk melaksanakan pentadbiran beliau sebelum menjatuhkan sebarang hukuman oleh mana-mana pihak.

Pengarah Komunikasi dan Penerangan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, prinsip utama tetap menolak pemimpin rasuah dan salah guna kuasa dan ia tetap tidak berubah.

“Keputusan yang diambil oleh PM adalah bagi memastikan kestabilan politik dan juga kestabilan kerajaan serta perlaksanaan prinsip dalam pentadbiran kerajaan menjadi keutamaan yang tiada lagi kompromi.

“Pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada yang memilih untuk berdiam diri iaitu Tawaqquf dan memisahkan diri atau mufaraqah. Namun begitu, antara dua mudharat harus memilih mudharat yang paling kecil ataupun paling kurang.

“Harus diingati politik itu satu kompromi dan prinsip pula adalah agama sepertimana kita menolak rasuah dan salahguna kuasa. Kita ada 82 kerusi dan perlu lagi 30 untuk jadi kerajaan. Sekiranya tiada kompromi kerana tidak berganjak dengan prinsip, maka 73 kerusi tersebut akan merampas kerajaan, ” ujar beliau yang juga merupakan Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang.

Tegas beliau, seandainya tidak berganjak dengan prinsip pula maka Zahid mungkin akan dilantik sebagai TPM oleh Perikatan Nasional (PN) yang hanya mendapat 73 kerusi dan keputusan melantik beliau adalah keputusan politik.

Oleh kerana itulah katanya, harus difahami dalam perlaksanaan prinsip dalam pentadbiran kerajaan merupakan prioriti yang tidak lagi boleh wujudnya kompromi.

Baca juga: Anwar cari ruang terbatas layan netizen walau kekangan masa