Malaysia Dateline

Keutamaan Sada bekal air bersih sempurna untuk rakyat bukan Vellfire

Pembelian kenderaan MPV Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) bukanlah satu keperluan penting sebaliknya anak syarikat kerajaan negeri Kedah itu sepatutnya memberi keutamaan kepada bekalan air bersih yang sempurna kepada rakyat, demikian menurut Ajk AMANAH Nasional Zolkharnain Abidin.

Beliau berkata, kenderaan untuk agensi kerajaan atau selainnya tidak perlu dibeli tetapi lebih jimat disewa daripada pihak lain.

“Keutamaan adalah bekalan air bersih yang sempurna bukan beli kereta.

“Ya, RM365,000 kecil bagi agensi besar seperti Sada tapi jumlah itu besar untuk rakyat yang perlukan bekalan air yang lebih baik,” katanya melalui Facebooknya.

Baginya, jika Sada memerlukan kenderaan untuk kegunaan pengurusan air kenderaan jenis Hilux, Ford, Mitsubishi amat sesuai dan boleh diperoleh yang baharu dengan harga lebih murah iaitu RM150,000.

“Di sini dah jimat RM215,000. Pengerusi tak perlu kereta Belpaya (vellfire) tu sebab dia dah ada kereta rasmi MB. Rasanya Sada pun ada lagi kereta lain yang boleh diguna oleh eksekutifnya untuk buat kerja lapangan.

“Isunya bukan salah atau tidak dari sudut peraturan sebab pembelian tentu ikut peraturan. Isunya ialah, Sada jaga hal asas kehidupan manusia iaitu air,”ujarnya.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Muhammad Sanusi telah menerima sebuah kereta baharu Toyota Vellfire daripada SADA berwarna hitam dengan plat nombor KEP 5000 yang berharga RM345,000.

Netizen mula mempersoalkan tindakan berkenaan di saat masalah air di negeri Kedah masih belum dapat diselesaikan lagi, namun SADA telah berbelanja membeli kereta Toyota Vellfire untuk kegunaan pengerusinya itu.

Ekoran itu, Pegawai Perhubungan Awam SADA, Anas Aidi Md Rozai berkata, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi SADA tidak terlibat dalam keputusan pembelian kenderaan tersebut.

Anas Aidi berkata, Muhammad Sanusi tidak mempunyai kaitan dengan keputusan syarikat untuk membeli kenderaan berkenaan.