Malaysia Dateline

Keutuhan kerajaan Negeri Sembilan beri keyakinan penyokong PH hadapi PRU 15

Genap 4 tahun yang lalu, rakyat Malaysia telah mencipta sejarah dalam PRU14 dengan menamatkan penguasaan Barisan Nasional dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia dan kebanyakan kerajaan negeri. Pada malam 9 Mei 2018, jutaan rakyat Malaysia menyambut kemenangan demokrasi dan mengharapkan satu permulaan baru buat Pakatan Harapan (PH).

Saya faham ramai penyokong Pakatan Harapan yang bersorak pada malam 9 Mei 2018, kini berasa amat kecewa dan berasa putus harapan. Saya tahu bahawa kekecewaan tersebut tidak mudah untuk diubati.

Namun, kita tidak boleh berputus asa dalam perjuangan menegakkan keadilan dan membersihkan Malaysia dari rasuah. Kita juga tidak boleh tunduk dan mengalah kepada politik pengkhianatan melalui Langkah Sheraton dan membiarkan politikus yang tidak berprinsip untuk menguasai lanskap politik negara kita.

Kita mesti bangkit untuk terus berjuang dan mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap misi perjuangan Pakatan Harapan. Walau apa pun rintangan di depan kita, berputus asa dan menyerah kalah tidak boleh wujud dalam kamus perjuangan kita.

Keutuhan kerajaan Negeri Sembilan beri keyakinan penyokong PH hadapi PRU15
Anthony Loke Siew Fook

Walaupun banyak kekecewaan melanda PH dalam tempoh 2 tahun yang lalu, namun sebagai pemimpin yang berasal dari Negeri Sembilan, saya cukup bangga dengan ketahanan Kerajaan PH Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang ditawan oleh PH pada PRU14 yang masih kekal bertahan sehingga hari ini. Pulau Pinang dan Selangor telah dimenangi sejak 2008 manakala Kedah, Perak, Melaka, Johor dan Sabah yang dimenangi oleh pakatan pembangkang pada tahun 2018 pun ditumbangkan selepas Langkah Sheraton.

Selepas Kerajaan PH tumbang di Putrajaya pada Februari 2020, memang terdapat usaha untuk menggugat kedudukan Kerajaan PH Negeri Sembilan. PH hanya mempunyai majoriti 4 kerusi di Dewan Undangan Negeri iaitu PH 20 kerusi dan BN 16 kerusi.

Saya berani menyatakan bahawa setiap daripada 20 ADUN PH di NS kekal berprinsip dan tidak mengkhianati mandat rakyat yang menyumbang kepada keutuhan kerajaan negeri.

Kerajaan PH Negeri Sembilan telah berusaha sedaya upaya untuk mentadbir negeri dengan penuh integriti dan memajukan Negeri Sembilan. Kita akan terus memberikan yang terbaik kepada rakyat dan berharap akan terus diberi mandat dalam PRU15.

Saya berharap keutuhan PH Negeri Sembilan boleh dijadikan sebagai teladan untuk memberi keyakinan semula kepada penyokong Pakatan Harapan di seluruh negara untuk menghadapi PRU15!

Baca juga: Marcos Jr jadi Presiden Filipina: Bukti maklumat palsu, penipuan di media sosial boleh bawa kemenangan