Kewartawanan arus perdana gagal bongkar isu pemalsuan dokumen negara

Kewartawanan arus perdana gagal bongkar isu pemalsuan dokumen negara

Pembongkaran sindiket pemalsuan dokumen negara seperti kad pengenalan atau pasport turut menggambarkan kegagalan media dan kewartawanan arus perdana negara, kata bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Zin Mahmud.

Menurutnya, tugas utama akhbar dalam sesebuah negara demokrasi ialah mengamalkan pemberitaan dan kewartawanan siasatan dengan menyiasat dan membongkar perkara buruk sebelum terus membarah pada negara.

“Media bukan saja menunggu laporan dari sidang akhbar oleh pihak berkuasa tetapi mereka sendiri perlu mempunyai inisiatif untuk mencari maklumat dan bertanya soalan-soalan sensitif bagi mewakili orang ramai supaya perkara-perkara ini terbongkar dan selanjutnya terhalang daripada menjadi lebih buruk.

“Itulah kepentingan kewartawanan, persuratkhabaran dan media bebas yang berwibawa dalam negara demokrasi,” jelasnya dipetik dari Facebook.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, rakyat negara ini secara umum, termasuk jentera kerajaan dan ahli-ahli politik tidak suka media dan akhbar seumpama ini.

“Ahli politik dan jentera kerajaan tidak suka media bebas kerana ia boleh menambah, menyusahkan kerja dan mengganggu ketenangan hidup mereka.

“Rakyat pula lebih sukakan berita-berita yang dapat diperoleh secara percuma melalui media sosial, ditularkan oleh sesiapa saja, tidak kira benar atau palsu, dan akhirnya pasti kewartawanan bebas dan berwibawa akan pupus,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas editor lidah rasmi Pas, Harakah turut mengingatkan tidak akan ada kewartawanan berwibawa dan bebas yang dapat subur tanpa sokongan komersial dari para pembaca dan penonton.

“Media negara hanyalah cermin kepada hasrat rakyat. Demokrasi pasti tempang dengan rakyat perlu cari jalan lain bagi menggantikan peranan kewartawanan bebas dan berwibawa,” tambahnya lagi.