Malaysia Dateline

Kewujudan antivaksin membimbangkan jika dakyah mereka tidak disekat

Manusia telah diciptakan oleh tuhan dalam keadaan yang cukup sempurna dengan dianugerahkan akal fikiran yang sihat dan menjadikan ia sebagai satu perbezaan taraf antara manusia dan haiwan.

Akal fikiran yang dianugerahkan ini akan membantu kita untuk berfikir secara waras dalam memahami sesuatu perkara dengan melaksanakan kajian dan penelitian tentang kefahaman kita terhadap perkara-perkara tertentu selain mendekatkan diri kita dengan tuhan dengan memikirkan zat kekuasaanNya.

Setiap agama menggalakkan penganutnya untuk menggunakan akal sebaiknya. Dalam beragama, penggunaan akal sangat penting bagi mengelak berlakunya ketaksuban yang melampau sehingga menolak segala perkara yang dibuktikan melalui kajian saintifik tanpa memikirkan implikasinya kepada orang ramai.

Dalam mendepani cabaran memerangi wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan, terdapat segelintir masyarakat kita yang masih menolak kewujudan virus ini yang telah meragut jutaan nyawa manusia.

Penerimaan vaksin juga turut dipertikai dengan alasan-alasan tertentu tanpa memberikan bukti kukuh tentang dakwaan yang dinyatakan.

Golongan yang menolak untuk menerima vaksin ini dipanggil sebagai antivaksin.

Kewujudan golongan antivaksin ini lebih membimbangkan sekiranya dakyah-dakyah yang disebarkan oleh mereka tidak disekat.

Golongan antivaksin ini sering menggunakan lapangan media sosial untuk menyebarkan dakyah mereka kepada orang ramai dengan menggunakan pelbagai cara sama ada melalui teks, artikel atau video.

Mereka sering menganggap bahawa penciptaan virus Covid-19 dan vaksin ini merupakan satu perancangan jangka panjang oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang berniat untuk mengawal dunia dan jumlah populasi manusia.

Kenapa orang ramai mudah percaya dengan dakwaan mereka? Perkara ini berlaku disebabkan oleh kesombongan mereka terhadap ilmu.

Umat islam amat digalakkan untuk lebih banyak membuat kajian dan penyelidikan melalui pembacaan seperti yang disarankan di dalam Al-Quran melalui wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW melalui Surah Al-Alaq ayat 1 iaitu membaca.

Agama islam tidak melarang penganutnya untuk membaca perkara lain selain Al Quran sekiranya ianya memberi manfaat kepada seluruh manusia.

Kita seharusnya menggunakan akal yang waras dalam memahami semula pengertian sebenar dalam kehidupan beragama tanpa menjejaskan hak orang lain.

Ilmu keduniaan seperti ilmu perubatan juga penting dalam kehidupan seharian manusia bagi memastikan kelangsungan hidup manusia di dunia.

Adakah cukup sekiranya seseorang yang terlibat dalam kemalangan hanya berdoa kepada tuhan untuk disembuhkan tanpa mempunyai sebarang ikhtiar untuk merawat? Semestinya tidak.

Kita perlukan ilmu dan ahli perubatan untuk melakukan rawatan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan tubuh manusia tidak terjejas.

Begitu juga dengan penerimaan vaksin kepada orang ramai yang menjadi satu ikhtiar kepada manusia untuk mencegah virus Covid-19 ini daripada terus merebak. Ini bukanlah satu agenda kumpulan tertentu seperti yang didakwa oleh golongan antivaksin ini.

Sekiranya ilmu duniawi ini tidak penting bagi umat islam, tidak perlulah Ibnu Sinar mempelajari ilmu perubatan yang menjadi dasar kepada perubatan moden hari ini.

Dan tidak perlulah Al Khawarizmi mempelajari ilmu matematik sehingga terciptanya algebra yang diajarkan di setiap sekolah.

Secara tuntasnya, kita disarankan untuk menggunakan akal dalam menilai sesuatu perkara sama ada baik atau buruk dengan lebih berhati-hati sekiranya menerima sesuatu berita yang disampaikan tanpa menjamin kepastian dan kebenaran berita tersebut seperti yang disebutkan di dalam Al Quran, Surah Al Hujurat ayat 6.