Keyakinan pelabur UK meningkat terhadap Malaysia, kata Fahmi

Oleh KIM SYAZIE

Keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia semakin meningkat berdasarkan sesi libat urus dengan pemain industri di Battersea, United Kingdom, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Semasa “Networking Session” bersama dengan pemain industri di Battersea, United Kingdom, alhamdulillah keyakinan pelabur antarabangsa semakin meningkat terhadap Malaysia. Insya-Allah we are on the right track,” Fahmi berciap menerusi Twitter.

Turut disertakan adalah klip video pemain industri di sana yang memuji penyertaan Malaysia.

Dua tokoh yang dirakam dalam klip tersebut adalah ketua pegawai eksekutif UK-ASEAN Business Council (UKABC) Ian Gibbons dan pengarah urusan Gulbenkiab Abdonian Solicitors, Dave Vasoodevan.

“Saya sungguh gembira dapat bercakap dengan menteri hari ini. Bagi kami Malaysia ialah tarikan utama teknologi digital. Ia merupakan perkara yang kami buat dengan baik di sini,” kata ketua Ian Gibbons.

“Dari sudut hubungan kerjasama, saya tidak dapat fikirkan rakan dagang yang lebih akrab dari Malaysia di peringkat ASEAN.

“Kami bercadang untuk datang ke Malaysia dan melawat menteri ketika Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.

Fahmi menghadiri sesi networking Malaysia Digital Economy Corporate di Stesen Janakuasa Battersea. Ia sebahagian dari acara Minggu Teknologi London.

Malaysia turut mendapat pelaburan sebanyak RM8.3 bilion dari sektor teknologi digital di UK.

Apa yang menarik adalah pelabur utama stesen janakuasa tersebut datang dari Malaysia.

Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merupakan pemegang aset jangka panjang stesen tersebut.

Dave Vasoodevan turut memuji sesi perbincangan yang berlangsung.

“Jarang sekali boleh kita peroleh kumpulan yang mempunyai kelas tersendiri untuk ke sini untuk mempersembahkan Malaysia dengan cara yang paling positif.

“Kami yang tinggal di sini lama pun jarang mendapat sokongan sebegini. Kini kita ada forum untuk bekerjasama,” katanya.

Acara tersebut dihadiri oleh 122 pemain industri dan pihak UK berharap kerjasama ini boleh mewujudkan 300 usahawan lagi.

Baca juga: Penat beratur nak tukar IC rosak, rupanya boleh buat panggilan telefon sahaja