Kezaliman paling besar adalah syirik dan kafir, kata pemimpin Pas

Kezaliman paling besar adalah syirik dan kafir, kata pemimpin Pas

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa partinya berada dalam kedudukan paling utuh berbanding era kepimpinan terdahulu sepanjang beliau hampir 20 tahun bersama Pas.

Memberi reaksi terhadap dakwaan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub tentang kemungkinan wujudnya perpecahan dalam Pas beberapa bulan lagi, Zuhdi menegaskan Pas pada masa ini berada dalam situasi yang paling ‘solid’.

“Pas menjadi utuh disebabkan golongan yang bermasalah sudah keluar dari Pas menyertai PAN (Amanah) dan PKR. Golongan yang bermasalah ini sebenarnya tidak memahami dan menghayati dasar dan matlamat Islam yang diperjuangkan oleh Pas, sebaliknya mereka hanya bermatlamat untuk menjatuhkan Umno,” selarnya.

Beliau berkata, “golongan bermasalah” tersebut menganggap sesiapa sahaja boleh mendominasikan pemerintahan negara terutama DAP untuk menggantikan Umno walaupun menurut Islam kezaliman yang paling besar adalah syirik dan kafir.

Bahkan, Zuhdi mendakwa Amanah pula akan berpecah dengan mendakwa kenyataan Salahuddin berhubung isu perpecahan Pas hanya cuba untuk mengalihkan perhatian umum terhadap apa yang semakin ketara berlaku dalam Amanah.

“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya ada tiga kumpulan yang sedang bersaing untuk menguasai PAN, iaitu kumpulan Haji Mohamad Sabu, kumpulan Datuk Husam Musa dan kumpulan yang cenderung kepada IKRAM (sebuah NGO Islam).

“Disebabkan persaingan itu, sehingga hari ini tidak diketahui bila PAN akan membuat pemilihan pimpinan-pimpinan baru, sedangkan pemegang jawatan sekarang tidak dipilih melalui Muktamar atau Mesyuarat Agung,” ujarnya hari ini dipetik dari Harakahdaily.

Mengulas lanjut, Zuhdi memberitahu mesyuarat agung partinya di peringkat cawangan dan kawasan berlangsung sangat harmoni dan dalam suasana ukhuwah Islamiyah yang cukup tinggi.

“Keharmonian dan suasana persaudaraan inilah yang menyebabkan Pas berjaya menghantar ratusan ribu ahli menyertai Himpunan 355 (H355) yang dianjurkan oleh NGO-NGO Islam Sabtu lepas (18 Februari),” tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun, realiti kepimpinan Pas pada masa ini dilihat banyak pihak sedang menyaksikan pertembungan kumpulan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan kelompok Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hal ini memandangkan berlaku banyak kenyataan atau tindakan antara Tuan Ibrahim yang tidak sehaluan dengan Abdul Hadi.

Pada masa sama, kredibiliti Pas sebagai parti Islam turut terjejas ekoran dakwaan menerima sejumlah RM90 juta daripada Umno.

Bahkan, Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa sekali lagi telah menyebut kembali pembongkaran Sarawak Report itu dengan mendakwa wang itu disalurkan melalui sebuah bank tempatan iaitu Affin Bank.

Namun, Pas sehingga hari ini masih belum mengambil tindakan mahkamah terhadap dakwaan tersebut ketika orang ramai melihat parti itu semakin mesra Umno-BN termasuk sekapal dalam misi membantu etnik Rohingya baru-baru ini.

COMMENTS

Wordpress (0)