Malaysia Dateline

KFA hantar surat mohon penjelasan dari FAM berhubung isu Akhyar

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memohon penjelasan berhubung keputusan badan induk itu menolak rayuan yang membabitkan jumlah pampasan pemain muda Lang Merah, Akhyar Rashid.

Setiausaha Kehormatnya Mohd Asmirul Anuar Aris berkata surat yang akan dihantar pada minggu hadapan itu sekaligus ingin menyuarakan rasa ketidakpuasan KFA terhadap keputusan FAM yang dilihat tidak adil dalam menangani isu tersebut.

“Isu sekarang ialah kita (KFA) tidak berpuas hati dengan cara mereka (FAM) menangani isu itu. Keputusan dibuat tanpa mendengar sebarang penjelasan daripada pihak KFA, sebab itu kita akan bawa perkara tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk menuntut keadilan.

“Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sendiri juga ingatkan supaya jangan biarkan ada pihak yang membuli kita. Sebab itu keputusan untuk bawa perkara tersebut ke CAS akan dibuat dalam masa terdekat kerana mahu perbetulkan apa yang tidak betul,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Asmirul Anuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah berkata selagi perkara tersebut tidak selesai Akhyar yang masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 perlu turun menjalani latihan pada bulan hadapan.

Sebelum ini, KFA telah mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM yang bermesyuarat semalam mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.

— BERNAMA