Malaysia Dateline

Khabar angin tidak menjejaskan permuafakatan PH Selangor

Wanita Keadilan Negeri Selangor menasihatkan agar segala khabar angin dan usaha merobohkan permuafakatan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor dihentikan segera, kerana ianya kerja sia-sia dan tidak mendatangkan hasil.

Ketua Wanita Keadilan Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, ia merupakan propaganda yang sengaja dicetuskan pihak tertentu disebabkan rasa iri hati atas pencapaian cemerlang yang berjaya dijelmakan barisan kepimpinan, diterajui Menteri Besar, YB Amirudin Shari.

Beliau menegaskan, segala khabar angin yang dimainkan tidak memberi kesan, malah ia menambah kuatkan lagi permuafakatan kerajaan untuk terus tekad dalam memberi fokus membangunkan agenda Selangor ‘Smart State’ menjelang 2025 nanti.

Katanya, kepimpinan YB Amirudin selaku Menteri Besar Selangor terus diyakini dan mendapat sokongan penuh bukan sahaja daripada PH negeri Selangor, malah pihak pembangkang turut menyokong.

“Selangor juga adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM91.2 bilion atau 23.7 peratus daripada KDNK nasional pada 2018.

“Kebelakangan ini juga, banyak kedengaran khabar angin yang bertujuan mengganggu kestabilan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

“Antaranya pertukaran menteri besar dan pemecatan Speaker Dewan Negeri Selangor, malah majlis pertemuan YB Amirudin bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) semalam juga dijadikan isu.

“Wanita Keadilan Selangor menyokong penuh usaha giat YB Amirudin & Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga pimpinan kerajaan lain, yang bekerja keras dalam mengangkat ekonomi dan martabat rakyat sama ada di peringkat negeri dan juga negara.

“Kami (Wanita Keadilan Selangor) tekad akan terus bersama-sama menteri besar memajukan negeri ini, seiring dan sederap memberi khidmat dan keutamaan kepada rakyat,” kata Daroyah yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Malaysia, menerusi satu kenyataan.