Malaysia Dateline

Khairuddin akan bawa isu perkampungan Rohingya di Kulai dalam sidang DUN

Kerajaan disaran untuk menghadkan kemasukan pelarian dari Rohingya ke negara ini yang kini telah membawa kekhuatiran terhadap rakyat Malaysia.

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata, kerajaan perlu sedar terdapat persepsi yang timbul dan rasa tidak senang masyarakat tempatan terhadap etnik Rohingya yang menetap di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perlunya penetapan atau penerangan kepada mereka yang ingin tinggal sementara di negara ini berkenaan budaya masyarakat Malaysia.

“Kita tidak mahu sehingga wujudnya ‘perkampungan Rohingya’ seperti di Kulai, Johor sehingga mereka sewenang-wenangnya melakukan aktiviti yang jelas lari dari budaya rakyat di negara ini.

“Tidak ketinggalan juga pemantauan terhadap aktiviti tidak sihat, pendidikan, ekonomi serta kesihatan golongan ini juga perlu diwujudkan bagi memudahkan tindakan kerajaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini dilakukan oleh mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kerajaan perlu mendepani isu kemanusiaan dengan cara lebih berhemah dalam menangani masalah pelarian Rohingya yang lama berada di negara ini.

Khairuddin berkata, mekanisme yang dilakukan kerajaan hari ini masih tidak jelas serta garis panduan atau penerangan berhubung perkara tersebut perlu dilakukan dengan segera.

“Kerajaan harus meletakkan garis panduan agar rakyat maklum berkenaan perkara tersebut serta tidak ada soal berbangkit di kemudian hari.

“Sebelum ini pemimpin yang melaungkan soal kemanusiaan etnik Rohingya seperti lari dari perjuangan kerana takut rakyat akan menghukum mereka akibat dari tindakan mereka sebelum ini yang mengadakan himpunan selamatkan Rohingya.

“Namun, selepas gerakan mengambil tampuk alih pemerintahan pemimpin yang melaungkan hal tersebut sudah menjadi menteri, tiada tindakan yang mapan untuk mendepani masalah itu,” tegasnya.

Tambahnya, beliau akan membawa perkara ini ke sidang Dewan Negeri (Dun) Johor untuk mempersoalkan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Johor berkenaan perkampungan Rohingya yang ada di Kulai.