Malaysia Dateline

Khairuddin akur, mohon maaf dan pulangkan 4 bulan gaji

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali akhirnya mengakui kesalahannya mengingkari prosedur operasi standard (SOP) yang diwajibkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan mengambil tanggungjawab dengan memulangkan semua gajinya untuk bulan Mei hingga Ogos lalu.

Pemulangan gajinya itu sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya juga akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaar dan terbela kebajikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini KKM memaklumkan telah mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada beliau ekoran tindakannya telah melanggar SOP.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi termasuk Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan telah menegaskan sesiapa sahaja tidak akan terlepas sekiranya telah melanggar SOP sama ada pihak atasan ataupun rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan di Dewan Rakyat Ahli Parlimen Kuala Nerus itu tidak kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Menurut Teresa Kok, Khairuddin sepatutnya wajib mengasingkan diri untuk tempoh 14 hari. Bagaimanapun beliau dilihat hadir ke Parlimen pada 13 Julai lalu.