Tangkap Rafizi kerugian besar, kata bekas ahli Umno

Tangkap Rafizi kerugian besar, kata bekas ahli Umno

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyelar tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap dan menahan reman tiga hari Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli kerana di dakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Khairuddin Abu HassanDatuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyelar tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap dan menahan reman tiga hari Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli kerana di dakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bekas Naib  Ketua Umno Bahagian Batu Kawan ini berkata, penangkapan dan tahan reman ke atas Rafizi ujar beliau satu kerugian besar setelah sekian lama Rafizi menyelidik dan membongkar isu skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini.

“Ia merupakan satu kerugian besar kepada Yb Rafizi seorang ahli parlimen yang paling pro aktif berjuang melawan kemungkaran kes skandal 1MDB yang sepatutnya dia bahaskan esok (hari ini) di Parlimen tetapi dah kena tangkap pula.

“ Rafizi adalah tokoh yang amat berpengetahuan di dalam isu skandal 1MDB telahpun terlepas peluang itu untuk berbahas secara intensif dan komprehensif mengenai skandal itu sehingga menjadi polimik yang menyelubungi imej perdana menteri,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika dihubungi malam tadi.

Khairuddin juga menyatakan kesudiannya untuk hadir pada penyerahan memorandum dalam “MPs Walk “ yang diketuai Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semua MP Pakatan Harapan dijangka akan berkumpul di hadapan pintu pagar Parlimen pada jam 9 pagi ini untuk menghantar memorandum ke Bukit Aman kerana tindakan menangkap Rafizi itu dibuat mencabuli institusi Parlimen.

Khairuddin tahun lalu pernah ditahan polis di bawah Akta 124C atas tuduhan cuba mengulingkan kerajaan berhubung tindakannya menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland berhubung skandal membabitkan isu sama 1MDB.

Katanya lagi, beliau sanggup ke mahkamah majistret di Putrajaya semalam semata-mata mahu mendengar dan melihat sendiri situasi membabitkan Rafizi.

“ Saya telah hadir ke mahkamah majistret di Putrajaya  untuk memberi sokongan moral kepada sahabat seperjuangan saya yang telah ditahan reman selama 3 hari di bawah akta OSA.

“Kadang kala saya tak faham dengan undang-undang di negara kita. Sesiapa yang melawan kemungkaran babitkan skandal 1MDB akan ditahan serta ditangkap.

“Sebaliknya sesiapa saja yang dilaporkan atau disyaki terlibat dalam kes penyelewengan tersebut tidak pula ditahan untuk soal siasat,” tegasnya tanpa menyebut siapa individu yang dimaksudkannya.

Siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong?

Khairuddin berkata, jika ada pihak mengatakan “tiada bukti” amat sukar untuk dipercayai kerana ujarnya, lima buah negara yang pernah beliau membuat laporan itu kini sedang menjalankan siasatan.

“Malah peguam negara Switzerland telah membuat kenyataan bahawa sejumlah RM16.8 billion wang syarikat 1MDB telah diselewengkan.

“Kenapa kerajaan Malaysia atau perdana menteri tak mahu saman peguam negara Swiss yang membuat kenyataan secara terbuka serta viral ke seluruh dunia?.

“Kini pihak Amerika Syarikat, Luxembourgh, Swiss, Singapore serta Hong Kong sedang siasat secara telus dan komprehensif.

“Saya yakin kebenaran akan timbul dalam masa terdekat ini insyaallah.

“ Secara peribadi saya berdoa setiap hari agar Allah swt tunjuk kebenaran selama ini siapa yang bercakap benar dan bercakap bohong.” ujarnya.

Semalam Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu ditahan di pintu keluar Parlimen selepas sidang dewan rakyat untuk membantu siasatan berhubung dakwaan beliau yang mengaitkan 1MDB dengan  Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan mahkamah majisteret hari ini memutuskan beliau ditahan reman selama tiga hari.

Peguamnya, R Sivarasa berkata,  Rafizi akan ditahan di lokap Jinjang sepanjang tempoh reman itu.

 

 

TAGS