Malaysia Dateline

Khairuddin dakwa wujud rancangan gulingkan Mahathir

Dalam nada yang agak keras Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menempelak dikalangan pimpinan politik dakwanya yang cuba mengulingkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa Mobilasi Pakatan Harapan (PH) itu  berkata, dikalangan yang tidak mahu mengikhtiraf kerja kuat perdana menteri berusia 93 tahun itu “tolong jangan ‘kurang ajar’ dan usah melebih sangat” tempelaknya dalam tulisan di facebook beliau hari ini.

Katanya lagi, beliau dapat menghidu ada tindakan tidak bertanggungjawab dikalangan yang kecewa tidak dapat jawatan, sedang berusaha untuk menjatuhkan Dr Mahathir.

“Namun, puak-puak ‘tahi kucing’ ini terlalu kerdil bagi saya. Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi kalangan ini boleh dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja.

“Mereka ini ‘pot tin’ kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja.

Untuk makluman puak bangang ini; perdana menteri bukan buat sesuatu keputusan sendiri untuk bertindak ke atas sesuatu isu. Segalanya melalui sistem musyuawarah untuk buat keputusan secara kolektif.

Janganlah suka buat andaian yang tidak berasas. Jangan sama sekali buat tuduhan melulu. Niat dan motif mereka sudah pun diketahui,” ujarnya.

Tanpa mendedahkan siapa dikalangan yang beliau maksudkan itu, tetapi Khairuddin memuat naik keratan laporan sebuah portal media kenyataan dibuat oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul semalam.

Johari dipetik berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara.

Johari turut menggesa Dr. Mahathir agar berhenti bermain isu Najib sebagai pencuri sedangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke mahkamah dan biarlah pihak berkuasa menentukannya.

Johari berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam, yang menegaskan parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan gabungan Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan sekiranya objektif Malaysia baharu yang dilaungkan mereka dipinggirkan.

Khairuddin yang juga Penyelaras Parlimen Jasin turut berkata, dalam apa jua keadaan; masakini adalah untuk semua pihak dalam Pakatan Harapan bekerja keras bagi menggalas tanggunjawab membela bangsa, agama dan tanahair bukan masa berbalah berebut jawatan selepas menang PRU14 pada9 Mei lepas.

“Tanpa jawatan sekiranya kita ikhlas dalam perjuangan pelbagai tanggungjawab boleh dipikul secara terbaik mungkin kerana semua kita mempunyai peranan yang tersendiri.

“Jangan jadikan peristiwa hitam di zaman silam berulang kembali.

“Kalau sesiapa saja sedang berusaha untuk mengkhianati impian dan harapan rakyat yang disandarkan pada kerajaan masakini yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir, saya juga sudah bersedia untuk melawan puak-puak ini dengan bekalan persediaan yang amat mencukup.

“Kita tidak boleh bertoleransi sama sekali dengan puak-puak parasit ini. Sekiranya dibiarkan menjadi boleh membinasakan keseluruhan bangsa dan negara kita,” ujarnya.

Katanya Dr Mahathir sedang bertungkus lumus siang dan malam untuk membangunkan semula negara yang dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi memerlukan sokongan padu dari semua pihak.

“Ini bukan kerja perdana menteri seorang diri. Ianya adalah tanggungjawab serta tindakan kolektif dari semua pihak dalam Pakatan Harapan.

“Jangan asyik nak salahkan perdana menteri seorang diri saja,” tempelaknya lagi.