Khairuddin fail dokumen DOJ bagi sokong semakan kehakiman, kata Peguam

Khairuddin fail dokumen DOJ bagi sokong semakan kehakiman, kata Peguam

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan dokumen tuntutan mahkamah Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat bagi menyokong permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Peguam Khairuddin, Mohd Haniff Khatri Abdulla mengesahkan afidavit difailkan pada Isnin lalu, berserta dengan laporan tindakan mahkamah Amerika setebal 136 muka surat itu sebagai eksibit.

Malaysiakini melaporkan beliau dipetik berkata, afidavit itu dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada hari yang sama.

Permohonan semakan kehakiman Khairuddin akan didengar pada Jumaat ini untuk menentukan sama ada kebenaran boleh diperolehi untuk memulakan prosiding mahkamah penuh.

Khairuddin pada 3 Februari lalu memfailkan usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Apandi dengan alasan bahawa pelantikan sebagai peguam negara adalah tidak sah.

Dalam usulnya, Khairuddin berkata cara bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan adalah menyalahi undang-undang kerana melanggar Perkara 156 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Bekas timbalan ketua Umno bahagian Batu Kawan itu juga memohon untuk mengketepikan segala tuduhan terhadapnya.

Khairuddin didakwa mensabotaj ekonomi selepas beliau membuat beberapa siri laporan terhadap 1MDB dengan pelbagai agensi penguatkuasaan asing.

TAGS