Malaysia Dateline

Khairuddin macam burung hud-hud: Kerajaan laksana undang-undang dua darjat?

Naib Presiden AMANAH, Mahfuz Omar mempersoalkan adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini melaksanakan undang-undang yang berbeza antara menteri dengan rakyat biasa.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bertanya demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin bahawa Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak bersalah berhubung isu perintah kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Sebaliknya, dakwa Hashim, kelalaian terletak pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri.

“Saya minta KKM dan Kementerian Luar menjelaskan, adakah KKM khususnya melaksanakan undang-undang dua darjat?

“Padahal, dakwaan awal Khairuddin dia ke Turki bukan urusan rasmi,” kata Mahfuz.

Terdahulu, Hashim menyifatkan Khairuddin yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman yang membawa keuntungan besar melalui kesalahannya melanggar undang-undang.