Khairuddin sedia serah kerusinya kepada Anwar jika menang bertanding

Walaupun nama Parti Bebas Rasuah (PBR) belum lagi diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan, namun Timbalan Presiden Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sudah berjanji jika diberi kerusi dan menang bertanding akan meyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekiranya saya diberikan kerusi untuk bertanding pada PRU14 kelak dan andaikata ditakdirkan menang, insya-Allah kerusi tersebut akan dijadikan sebagai persediaan untuk diserahkan kepada Datuk Seri Anwar mengambilalih melalui pilihan raya kecil,” ujarnya dalam kenyataan.

Khairuddin berkata, beliau membuat keputusan itu kerana menyokong usaha Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membebaskan Anwar sekiranya Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

“Saya akan kosongkan kerusi tersebut buat Datuk Seri Anwar bertanding setelah beliau dibebaskan dan akan kami usahakan agar proses undang-undang membenarkan beliau bertanding pada waktu itu.

“Banyak cara dan kaedah perundangan yang boleh kita usahakan untuk Datuk Seri Anwar dibebaskan serta dibenarkan bertanding.

“Yang penting keseluruhan rakyat jelata mesti berikrar untuk sokong dan menjamin kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 nanti,” ujarnya.

Pada Sabtu dalam Program Hardtalk di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan kesediaannya mengepalai usaha membebaskan bekas timbalannya sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14.

“Kalau rakyat nak Anwar Ibrahim, siapa saya nak tahan rakyat,” ujar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya Felo Penang Institute Dr Wong Chin Huat dalam program berkenaan.

Khairuddin berkata, sokongan mutlak rakyat secara sepadu akan merubah lanskap politik tanahair ke arah menukarkan kerajaan kleptokrasi kepada sebuah kepimpinan Pakatan Harapan menerajui negara.

“Saya amat yakin secara total bahawa amalan korupsi dan salahguna kuasa akan berakhir secara kekal serentak dengan tamatnya kepimpinan kerajaan kleptokrasi di bumi malaysia.

“Rakyat akan dapat mengecapi kesejahteraan hidup secara adil dan saksama sekiranya Pakatan Harapan dapat menubuhkan kerajaan baru selepas PRU14 nanti.

“Sama ada kita mahu atau tidak mahu; suka atau tidak suka kali ini rakyat tiada pilihan kecuali sama-sama berganding bahu bagi menumbangkan umno serta BN melalui amalan demokrasi secara proses pilihanraya,.

“Hanya dengan menumbangkan Umno dan BN melalui proses pembuangan undi negara akan dapat diselamatkan,” ujarnya.

Pada 4 April lalu Khairuddin bersama beberapa jawatankuasa partinya telah memohon untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan yang kini dianggotai PKR,DAP, Amanah dan Bersatu. 

Surat permohonan rasmi parti itu diserahkan kepada Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen.

Manakala perbincangan mengenai permohonan parti baharu itu dalam gabungan Pakatan Harapan dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden dijadual diadakan minggu ini.

COMMENTS

Wordpress (0)