Malaysia Dateline

Khairuddin sudah bayar kompaun, tiada kluster, bela Tuan Ibrahim

Ketika kesahihan kompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) RM1,000 ke atas Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana mengingkari Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib masih hangat dipersoal, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tampil membela.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu menyifatkan isu membabitkan Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sudah tidak penting kerana tidak menyebabkan sebarang kewujudan kluster baharu Covid-19.

Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian tersebut, tumpuan semua pihak adalah lebih baik kepada mereka yang mempunyai kluster Covid-19.

“Dia dah bayar kompaun maksimum RM1,000… dia ini tiada kluster.

“Dia dah buat swab test (ujian sapuan) dan kesilapan dia itu pun dah bayar kompaun apa semua,” ujarnya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan khas dan kit Covid-19 kepada sekolah-sekolah peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada pemergian Khairuddin ke Turki pada 3 hingga 7 Julai lalu dalam pengetahuan parti atau sebaliknya.

Terdahulu, Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta menyumbangkan gajinya selama empat bulan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Covid-19) selepas beberapa kali mempertahankan kewajaran tindakannya tidak melakukan kuarantin kendiri.

Bagaimanapun, rata-rata orang ramai menyifatkan hukuman terpilih itu tidak wajar memandangkan Khairuddin merupakan seorang ahli Dewan Rakyat yang terlibat dalam proses menggubal undang-undang.

Malah, warganet mendesak Khairuddin meletak jawatan sebagai menteri mencontohi tindakan bertanggungjawab sejumlah ahli politik di luar negara yang bersalah mengingkari SOP dalam mencegah risiko penularan pandemik Covid-19.