Malaysia Dateline

Khairuddin terlepas dari pertuduhan langgar perintah kuarantin

Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali terlepas daripada pertuduhan berhubung keingkarannya mematuhi perintah kuarantin kendiri wajib Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed dalam sidang media hari ini berkata selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), polis menerima arahan agar tiada tindakan lanjut diambil terhadap menteri terbabit.

“Kertas siasatan telah rujuk ke pejabat peguam negara dan arahan untuk kes ini ‘no further action’…NFA, atas alasan menteri tak diserahkan dengan borang 14b di bawah seksyen 15 (1) akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

“Berdasarkan keterangan tersebut, maka AGC memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak menjalani perintah kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki.

Bagaimanapun kegagalan kerajaan mengenakan tindakan terhadap Khairuddin termasuk membawa ke mahkamah mengundang kecaman para netizen.

Ekoran itu, Khairuddin tampil membuat permohonan terbuka dan berjanji tidak akan mengambil gajinya selama empat bulan dan menyerahkan kepada tabung COVID-19.