Malaysia Dateline

Khairuddin wajar letak jawatan

Kenyataan yang dikeluarkan oleh MP Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bahawa beliau tiada keperluan untuk letak jawatan menunjukkan beliau tidak mempunyai rasa tanggungjawab pada rakyat Malaysia.

Pada mulanya setelah disoal berulang kali oleh YB Teresa Kok beliau mengambil langkah berdiam diri. Kemudian setelah diasak pelbagai pimpinan parti daripada beberapa gabungan parti komponen kerajaan termasuklah Umno dan PPBM beliau menjelaskan sudahpun membayar kompaun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos sedangkan YB Teresa Kok hanya membuat pendedahan pada 12 Ogos yang lalu. Malah kenyataan medianya jelas cuba memutar-belitkan fakta sebenar.

Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah sendiri tidak mengetahui tentang kompaun yang dikenakan terhadap Khairuddin. Malah selepas siri pendedahan tentang kesalahan melanggar SOP kuarantin wajib Covid-19 di rumah sumber juga mendedahkan Khairuddin difahamkan juga ke Turki bersama ahli keluarganya walaupun dikatakan mempunyai urusan rasmi kerajaan.

Netizen yang berang dengan keangkuhan menteri ini mengeluarkan petisyen online yang ingin Khairuddin meletakkan jawatan dan saat ini difahamkan petisyen itu sudahpun mencecah lebih 300 000 orang. Setelah desakan dari pelbagai pihak barulah pihak PDRM mengambil keterangan Khairuddin di Parlimen baru-baru ini.

Rakyat Malaysia begitu berang dengan sikap acuh tidak acuh MP Kuala Nerus yang merasakan beliau boleh terlepas tindakan hanya kerana beliau seorang menteri.

“Hari ini Khairuddin dengan tidak tahu malu mengatakan itu cuma satu kesilapan dan tiada keperluan untuk meletakkan jawapan. Sudahlah berulang kali menipu rakyat malah beliau tidak mempunyai sekelumit rasa malu langsung atas sikapnya yang tidak bertanggungjawab itu.”

Jika di negara luar mana-mana Menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) wabak Covid-19 akan terus meletakkan jawatan kerana malu dengan sikap tidak bertanggungjawab dan merisikokan nyawa rakyat mereka tetapi di Malaysia bukan sahaja berdolak-dalih setelah melanggar SOP malah mempertahankan tindakannya yang salah.

“Seorang pemimpin dari parti Islam yang mengajar kita bercakap benar tetapi hari ini kita melihat begitu hipokritnya pemimpin dari parti Pas ini sanggup berbohong demi mempertahankan kedudukannya. Mungkin sudah terbiasa guna nama agama untuk menipu rakyat jadi Khairuddin fikir tak apa untuk sekadar memohon maaf dan memulangkan gaji beliau selama 4 bulan sedangkan isunya soal integriti dan sifat tanggungjawab seorang pemimpin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bersetuju untuk meningkatkan kompaun bagi orang yang melanggar SOP Covid19 ini. Saya berpendapat wajar kompaun dikenakan lebih tinggi buat MP Kuala Nerus ini lebih-lebih lagi dengan terdedahnya siri pembohongan beliau satu demi persatu.

Isu antara dua darjat juga heboh diperdebatkan warga net hanya kerana seorang menteri terlepas tindakan undang-undang tetapi rakyat biasa dikenakan hukuman lebih teruk berbanding seorang menteri. Kerajaan perlu bertindak tegas dalam mengadili isu ini jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

———————————–

Penulis adalah aktivis politik di Terengganu dan pembaca Malaysia Dateline.