Khairul Aming dedah kos bawa pekerja bercuti, tak berkira belanja cecah RM1 juta setiap tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan muda, Khairul Aming kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas membuat pendedahan mengenai kos yang perlu ditanggung setiap kali mengadakan percutian buat semua pekerjanya.

Perkara tersebut didedahkan Khairul Aming sebaik menerima soalan mengenainya daripada salah seorang penonton ketika melakukan sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya.

Jelas Khairul Aming, terdapat dua perbelanjaan yang perlu ditanggung sepanjang percutian tersebut berlangsung termasuklah kos kerugian kerana kilang pengeluaran produknya perlu ditutup selama lima hari.

“Sebenarnya ada dua kos. Satu kos itu melibatkan perbelaniaan percutian pekerja seperti tempat penginapan mereka, makanan, pengangkutan, duit poket, aktiviti yang dijalankan dan macam-macam lagilah.

“Kos kedua adalah melibatkan penutupan operasi kilang. Sebab saya tutup dalam lebih kurang hari. Jadi kalau kita gabungkan kedua-dua kos tersebut, saya boleh cakap jumlahnya hampir mencecah RM1 juta.

“Kerugian dalam pengeluaran produk sahaja dalam RM700,000 hingga RM750,000. Manakala kos perbelanjaan untuk percutian pekerja itu dalam RM200,000 ke RM300,000 macam itu,” kata Khairul Aming dalam sesi tersebut.

Sesi siaran langsung yang dipercayai dilakukan ketika penjualan produk milik usahawan berkenaan iaitu Dendeng Nyet Berapi itu sempat dirakam oleh pengguna TikTok sebelum dimuat naik semula di platform sama.

Dalam perkongsian sama, usahawan yang juga anak kelahiran Kelantan itu mengakui langsung tidak kisah untuk menanggung kos tinggi demi kebajikan pekerjanya malah turut berharap dapat mengekalkan budaya berkenaan setiap tahun.

“Saya tak kisah kerana kos itu telah didedikasikan setiap tahun untuk meraikan kakitangan. Insya-Allah, kita akan mengekalkan budaya tersebut setiap tahun. Saya akan pastikan setiap tahun kita tetapkan masa untuk bawa pekerja bercuti walaupun perlu menutup kilang.” Ujarnya.

Sekadar info, Khairul Aming akan menutup kilangnya di Kelantan setiap tahun untuk membawa pekerjanya pergi bercuti dan destinasi yang dipilih pada September lalu adalah Pulau Pinang.

Kakitangan diberikan tempat penginapan hotel bertaraf lima bintang dengan pemandangan laut, duit poket untuk membeli belah, makan nasi kandar dan bermain pelbagai sukan laut termasuk ‘parasailing’, banana boat dan jetski.

Baca juga: Nak pecah rekod ada anak paling banyak, lelaki Jepun bahagia hidup ditanggung 4 isteri, 2 teman wanita