Bukan senang untuk bermula dari bawah namun itu tidak mematahkan semangat pempengaruh dan usahawan terkenal Khairul Aming.
Mula terkenal selepas memuat naik video resipi mudah untuk sahur dan berbuka beberapa tahun lepas, Khairul berjaya mengeluarkan dua produk.
Malah Khairul juga berjaya membuka peluang pekerjaan buat rakyat Kelantan apabila memiliki dua kilang bagi proses produknya.
Menerusi laman X, Khairul Aming mengumumkan dua produknya sudah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Alhamdulillah Dendeng dan Sambal Nyet kini disahkan HALAL oleh JAKIM. Bermula dengan kilang dari zero, kita bina sedikit demi sedikit sehingga dapat pengiktirafan.
“Untuk sekarang kita dah dapat sijil MeSTI dan HALAL, doakan kita boleh apply untuk Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) juga untuk kilang kat Kelantan,” ujarnya dalam hantaran di X.
Jelas Khairul, tahun ini dia meletakkan sasaran untuk mendapatkan sijil halal untuk kilangnya di Kelantan dan akhirnya pada 20 November mereka berjaya.
“Kami dapat sijil ini dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Kami juga dah berjaya dapat sijil MeSTI dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Jadi kilang sudah diiktiraf selamat, bersuh dan juga halal. Alhamdulillah kini sudah ada dua buah kilang dengan 100 orang pekerja dan akan cuba memohon HACCP pula.
“Langkah seterusnya adalah untuk kembangkan lagi produk ini kepada pasaran yang lebih besar dan boleh kembangkan lagi industri e-dagang juga pengkilangan makanan dekat Kelantan.
“Tahun depan adalah tahun kelima perniagaan ini, jadi sekarang kita akan fokus dengan produk ketiga yang akan dikeluarkan tahun hadapan,” jelasnya dalam video dikongsi.
Baca juga: Fattah Amin kini bergelar ‘orang korporat’, dilantik jadi Ketua Eksekutif Pemasaran kambing perap