Khairul Hafiz intai perbaharui rekod kebangsaan 100m, 200m tahun depan

Khairul Hafiz intai perbaharui rekod kebangsaan 100m, 200m tahun depan

Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menyasarkan untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 100m dan 200m pada tahun depan.

Pemenang pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu mengakui terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaikinya untuk memperbaharui rekod kebangsaan dalam kedua-dua acara berkenaan.

Pelari berusia 20 tahun itu merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100m dan 200m, masing-masing dengan catatan 10.18 saat dan 20.90 saat.

“Bagi saya, catatan peribadi saya tidak konsisten pada tahun ini dan seperti di Jerman sebelum ini, saya mencatat 10.28 saat berbanding rekod peribadi saya iaitu 10.18 saat, jadi banyak lagi perlu saya perbaiki.

Kalau boleh, saya hendak perbaiki lagi catatan berkenaan dengan cuba dekatkan jurang masa  atau  perbaharui catatan itu sendiri pada tahun depan,” katanya.

Khairul Hafiz yang merupakan duta  syarikat pengeluar makanan dan minuman tempatan, Fraser  & Neave (F&N) Holdings Berhad berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas hadir pada majlis sambutan ulang tahun ke-135 syarikat berkenaan di Pusat Beli Belah IOI City Mall, di sini, malam tadi.

Menyentuh mengenai pencapaian keseluruhannya pada musim ini, Khairul Hafiz mengakui agak sedikit kecewa kerana gagal meraih keputusan positif dalam beberapa kejohanan disertainya termasuk Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang di Indonesia.

Beliau menjelaskan kecederaan lutut yang dialaminya ketika menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, jelas menjejaskan teknik lariannya dan menghalang beliau untuk melakar catatan masa yang lebih baik.

“Tahun ini pencapaian agak kurang terutamanya dari segi keyakinan mental, lebih-lebih lagi dengan kecederaan hamstring yang sama alami sebelum ini saya masih menjalani rawatan di Institut Sukan Negara, namun sudah beransur sembuh,” kata anak jati Melaka itu.

Dalam perkembangan berasingan, Khairul Hafiz berkata beliau masih menunggu kepulangan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim yang sedang mengerjakan umrah untuk perancangan latihan dan kejohanan yang akan disertainya pada tahun depan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2019 dan edisi ke-23 Kejohanan Olahraga Asia.

— BERNAMA