Khairul Hafiz perlu latihan profesional tingkat pencapaian

Khairul Hafiz perlu latihan profesional tingkat pencapaian

Amanah Negeri Melaka mahu bakat dan pencapaian jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan memberikan beliau insentif memajukan keupayaan dirinya di bidang sukan.

Pengarah Komunikasi dan Media Amanah Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata,kejayaan Khairul Hafiz sudah tentu menjadi kebanggaan kita rakyat negeri Hang Tuah dan ianya menjadi inspirasi kepada seluruh anak muda di Melaka dan negara.

“Amanah mengucapkan tahniah kepada jaguh pecut negeri Melaka dan Malaysia Khairul Hafiz Jantan.

“Sesungguhnya kejayaan ini membuktikan kepada kita semua bahawa kegigihan, keazaman, komitmen, kesungguhan dan kekuatan mental mampu menjadikan seseorang itu berjaya dengan cemerlang.

“Khairul Hafiz memang terkenal dengan sifat-sifat positif tersebut dan Insya Allah beliau mampu pergi lebih jauh kerana umurnya masih muda,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Khairul Hafiz berjaya memecahkan rekod 100 meter kebangsaan pada saingan akhir Sukma 2016, di Kuching semalam.

Khairul Hafiz menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan masa 10.18 saat memadamkan rekod lama kebangsaan milik Watson Nyambek dengan catatan masa 10.30 saat yang bertahan selama 18 tahun.

“Moga-moga beliau akan terus maju dan berjaya pada peringkat yang lebih tinggi iaitu Asia dan Dunia.

“Tahniah dan Selamat Maju Jaya Adik Khairul Hafiz Jantan.” ujarnya.

TAGS