Khairul penagih tegar ketum, sindir Mahfuz

Khairul penagih tegar ketum, sindir Mahfuz

Kenyataan berbolak-balik Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkaitan laporan polisnya terhadap tiga tokoh bergelar Tan Sri dilihat sebagai akibat pengaruh ketagihan ketum.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ketika mengulas tuduhan Khairul kononnya mereka terbabit dalam konspirasi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Namun, ujarnya, Khairul pada 3 Ogos lalu mendakwa telah mematahkan komplot berkenaan walaupun sebelum itu polis mengesahkan kenyataan Khairul tersebut tidak berasas dan hanya andaian sahaja.

“Bagi saya sangat pelik budak Khairul ini, mula dia lapor polis tiga Tan Sri bekas penjawat awam nak guling Najib kemudian KPN (Ketua Polis Negara) kata laporan polis Khairul hanya andaian saja.

“Duk tak duk, budak Khairul kata pula yang dia dah berjaya patahkan usaha nak guling Najib dan kerajaan Umno BN.

“Kalau polis dah kata laporan tersebut tidak ada asas hanya andaian budak Khairul saja, macam mana budak Khairul kata dia dah berjaya patahkan komplot untuk gulingkan Najib?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mahfuz turut mempertikai sejauhmana kejayaan Khairul memandangkan sebelum ini beliau pernah mendakwa tiga orang kenamaan berkenaan memberikan dokumen dan maklumat sulit kepada agensi di Amerika Syarikat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

“Maknanya maklumat tersebut sudah diberi kepada FBI. Macam mana Khairul kata dia dah patahkan sedangkan mengikut laporannya FBI dah dapat maklumat dan dokumen penting?” ujar pemimpin Pas itu.

Sehubungan itu, Mahfuz menyifatkan Umno terpaksa menggunakan individu seperti Khairul yang dianggapnya penagih tegar ketum.

“Saya ingat budak Khairul suruhan Umno ini penagih tegar ketum sebab itu dia bercakap macam orang mabuk ketum.

“Kasihan Umno terpaksa guna budak suruhan yang mabuk ketum dan kadang-kadang macam budak tiga suku,” sindir Mahfuz lagi dalam kenyataannya itu diakhiri dengan #TangkapMO1, #TangkapBudakKhairul serta #SelamatkanMalaysia.

Tiga tokoh kenamaan yang dinamakan Khairul juga dikenali sebagai Azwan Bro dalam laporan polis di Ibu Pejabat Dang Wangi, 27 Julai lalu itu ialah
bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

COMMENTS

Wordpress (0)