Malaysia Dateline

Khairy ada tempoh satu bulan untuk rangka strategi turunkan kes Covid-19

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang memberikan tempoh sebulan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk merangka strategi baharu bagi mengawal angka kes Covid-19 yang masih belum menampakkan trend penurunan.

Lim berkata, Khairy telah mengambil langkah yang tepat sebagai seorang Menteri Kesihatan dengan berjanji untuk menjadi lebih telus, memberikan maklumat Covid-19 yang lebih terperinci kepada orang ramai.

Namun apa yang lebih mendesak katanya, Khairy perlu mengatasi peningkatan kes Covid-19 yang masih belum ada tanda-tanda tren penurunan sejak dari pengumuman Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun.

“Perkara ini penting kerana sejak pengumuman Pelan Pemulihan Negara, kes Covid-19 telah meningkat 2.64 kali ganda dan kematian pula meningkat 4.2 kali ganda.

“Angka-angka kes amat tinggi, tetapi kita tidak dapat memastikan sama ada ia sedang meningkat atau menurun.

“Memandangkan terdapat tempoh inkubasi 14 hari untuk Covid-19, hanya adil untuk kita menunggu 14 hari sebelum menilai Khairy sebagai Menteri Kesihatan dengan dasar, strategi, dan pedekatan baharu dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, Malaysia berkemungkinan akan mengatasi dua lagi negara iaitu Iraq dan Belanda, dengan lebih banyak kes terkumpul di tempat ke-21 apabila kita meraikan Hari Malaysia ke-58 pada 16 September depan.

Beliau juga tertanya sama ada negara akan melepasi paras 17,000 kematian hari ini dan melepasi paras 20,000 kematian pada Hari Malaysia ke-58.

“Adakah Malaysia akan berada dalam hala tuju penurunan kes dan kadar kematian akibat Covid-19 dalam penghujung bulan ini?

“Kita berikan Khairy satu bulan sebagai Menteri Kesihatan baharu,” katanya lagi