Khairy akan usul GST dikekalkan

Khairy akan usul GST dikekalkan

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan membawa cadangan kepada kerajaan supaya tidak memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Khairy ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen Ke-14 hari ini menyarankan kerajaan mengekalkan GST tetapi pada kadar yang lebih rendah berbanding sebelumnya berbanding memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menurutnya, beliau tetap yakin dan percaya GST adalah lebih telus dan efisien berbanding SST.

“Saya akan memberi perincian mengenainya pada sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong nanti. Bagi saya kerajaan tidak perlu mansuhkan GST dan gantikannya dengan SST.

“Pada peringkat ini, saya fikir, kerajaan hanya perlu menurunkan kadar peratusannya. Saya akan menyentuh lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya lapor Utusanonline.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen selepas istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen Ke-14 hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu, Akta SST dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan sebelum diluluskan dan seterusnya dilaksanakan bermula 1 September ini.

Guan Eng berkata, di bawah akta yang dicadangkan itu, cukai jualan akan dikenakan sebanyak 10 peratus sementara cukai perkhidmatan akan dikenakan sebanyak enam peratus.

COMMENTS

Wordpress (0)