Khairy akui BN bodoh nafi realiti skandal 1MDB

Khairy akui BN bodoh nafi realiti skandal 1MDB

Selepas mendakwa kesal kerana tidak berterus-terang dengan Najib Razak berhubung penolakan akar umbi terhadap Umno, Ketua Pergerakan Pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin mengakui mereka bodoh kerana menafikan realiti.

Menurutnya, punca kekalahan BN bukan kerana persepsi di media sosial sebaliknya kerana realiti menidakkan pelbagai skandal terutama 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jangan lagi kita cakap persepsi. Ini realiti. Mesti ada realiti dahulu. Persepsi itu dibentuk oleh realiti. Realiti sudah ada cuma kita bodoh kerana menafikan selama ini.

“Kita menafikan 1MDB dan macam-macam skandal. Kita kata tidak ada, sudah dijawab.

“Kita menipu diri sendiri sampai hari terakhir,” dipetik daripada wawancara Mingguan Malaysia hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berpendapat budaya negatif Umno masih tidak lagi berubah walaupun beberapa perubahan dalam parti dibuat termasuk perlembagaan dan pemilihan Umno supaya menjadi lebih demokratik.

“Budaya feudal, budaya mewah, budaya angkuh, budaya sombong, budaya tidak berani bersuara kepada pemimpin sehingga kami semua membuat kesilapan yang besar.

“Wala’ (kesetiaan kepada pemimpin) itu wala’-lah tetapi dalam keadaan kami semua tidak dapat membaca sentimen sebenar rakyat. Itu kita kena mengaku,” ujar menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkenaan.

Ditanya tentang susunan struktur Umno-BN pasca PRU-14 ekoran bantuan kewangan mungkin sudah tiada atau berkurangan, Khairy menyeru supaya ahli parti tersebut berhemah dalam pengurusan duit.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyarankan agar Umno mencontohi langkah parti politik lain yang mendapatkan sumbangan awam bagi menguruskan program-program parti.

“Walaupun kita akan menyalurkan apa yang kita mampu tetapi janganlah setiap kali kita kena fikir soal duit.

“Mesyuarat cawangan dan bahagian hendak adakan, kena duit. Buatlah secara berhemah, dan berpada-pada.

“Mungkin kita kena pergi kepada model yang digunakan oleh parti-parti politik lain. Ahli beri duit, kita buat ‘crowdfunding (pembiayaan awam) dan penderma buat secara telus atas talian,” jelasnya lagi.

BN di bawah bekas pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak menerima tamparan hebat pada PRU-14, 9 Mei lalu apabila kalah teruk ditolak rakyat buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara ini dengan hanya menang 78 kerusi Parlimen.

Selain 1MDB, pelbagai isu berkaitan kepincangan urus tadbir dan salah guna kuasa meletus sejak Najib menjadi Perdana Menteri mulai 2009, antaranya skandal Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Turut mencolok mata rakyat skandal ketirisan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selain pelbagai deretan kes jenayah pengubahan wang haram seperti skandal rasuah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Negara juga pernah digemparkan dengan pelbagai tragedi pembunuhan berprofil tinggi seperti membabitkan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006; pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank), Hussein Ahmad Najadi dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak di Putrajaya pada 2013.

Selain itu, kes Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mati disimen di Subang Jaya, pada 2015 juga mengundang tanda tanya rakyat sebelum ini.

7.4
OVERALL SCORE
27 user votes x 7.7
CATEGORIES