Malaysia Dateline

Khairy bagi tempoh dua bulan siasat isu buli doktor pelatih

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi tempoh sehingga dua bulan kepada jawatankuasa petugas bebas untuk menyiasat kes buli doktor pelatih yang ditemukan maut pada 17 April lalu.

Menerusi ciapan di Twitter Khairy berkata, beliau tidak mahu adanya budaya kerja yang toksik di hospital-hospital kerajaan.

Justeru katanya, petang ini beliau akan mengumumkan senarai anggota pasukan petugas bebas untuk menyiasat kes buli dan budaya kerja di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Zaman dahulu dan zaman sekarang lain. Persekitaran kerja mesti ada rasa hormat, saling menyokong dan ’empowering’. Bukan mendera dan memalukan.

“(Anggota jawatankuasa juga diberi tempoh dua bulan bagi) membuat syor untuk memperbaiki keadaan budaya kerja KKM,” katanya menerusi Twitter.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, sebuah pasukan bertindak bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital awam.

Laporan media sebelum ini mendedahkan pengakuan doktor pelatih dan doktor lain yang tidak dinamakan, mendakwa mereka dibuli serta dihina oleh doktor senior dan doktor pakar dalam tempoh latihan dua tahun.

Baca juga: 9,000 restoran mamak tidak akan naikkan harga

Baca juga: Ibu bapa saman anak kerana tidak bagi mereka cucu