Malaysia Dateline

Khairy beri kebenaran penerima suntikan untuk merakam video

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin membenarkan kesemua penerima suntikan vaksin Covid-19 untuk merakam perjalanan suntikan mereka.

Beliau sendiri katanya, telah meminta kebenaran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba untuk membenarkan individu mengambil video dan merakam.

“Ini kebenaran daripada saya. Saya juga telah minta kebenaran dari menteri kesihatan sendiri kalau sekiranya ada arahan untuk tidak diberikan kemudahan ini, sekarang ini penerima vaksin boleh lah (merakam) video suntikan vaksin mereka,” katanya dalam sidang medianya hari ini.

Pengumuman Khairy itu dibuat beberapa jam selepas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim melarang orang ramai mengambil gambar mahupun merakam video.

Memetik laporan Berita Harian hari ini, Ahmad Amzad berkata, merakam video dan gambar tidak dibenarkan kerana ia dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran proses vaksinasi di PPV.